Pada sekitar tahun 2004-2006 lalu, ada satu iklan syampu cukup diingati orang ramai dengan menunjukkan situasi seorang pelajar wanita kolej bertudung berjaya memikat seorang pelajar lelaki selepas memakai syampu tersebut.

Baru-baru ini video itu kembali menjadi bualan ramai semula apabila ‘hero’ iklan syampu itu telah diberkas SPRM selepas disyaki menjadi ‘orang tengah’ dalam pengagihan projek kerajaan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

Baca Juga:

‘Hero’ berusia 42 itu ditahan pada malam Khamis lalu, 5 Januari 2023, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan. Dia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman lima hari bermula 6 hingga 10 Januari, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Perkongsian Twitter @faktabukanauta telah membuat netizen terkejut apabila mengetahui ‘hero’ iklan syampu itu merupakan salah seorang daripada 5 individu yang dipercayai menjadi dalang atau ‘orang tengah’ kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

Dalam pada itu, sumber FMT mendakwa ‘hero’ iklan syampu yang ditahan itu dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor dan ‘pihak atasan’.

“Hampir 90% projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10% projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10% hingga 20%,” katanya.

Pada 9 Dis lalu, SPRM berkata fokus siasatan berhubung dakwaan salah guna dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika COVID-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19.

Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Difahamkan beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak 3 hingga 5% dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik konon untuk tujuan pembiayaan politik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.