Ketua jurulatih skuad kebangsaan Arab Saudi, Hervé Renard memberikan sebab utama pasukannya tewas kepada Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Renard menyatakan beliau sudah mengenal pasti punca kekalahan 2-0 kepada skuad Garuda itu.

Baca Juga:

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan tahniah kepada Indonesia. Mereka berhak menang perlawanan ini. Pasukan tuan rumah memulakan permainan dengan baik. Berbeza dengan kami.

“Kami memulakan permainan seolah-olah ini merupakan perlawanan persahabatan biasa. Ini beza kami dengan mereka. Saya sedar dengan tanggungjawab yang besar dan mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini,” katanya.

Hervé Renard berkata Jepun menjadi pilihan untuk muncul sebagai juara kumpulan C namun beliau mahu Arab Saudi agar segera bangkit dan merebut tempat kedua dalam kumpulan.

“Jelas dalam kumpulan ini Jepun mendahului dengan perbezaan mata yang tinggi dan mereka akan layak sebagai juara kumpulan. Persaingan untuk merebut tempat kedua akan menjadi tegang.

“Kami harus terus berjuang. Hari ini kami tewas namun ada empat lagi perlawanan yang akan dihadapi. Kita akan lihat keputusannya nanti,” tambahnya.

Renard kembali membimbing Arab Saudi selepas ketua jurulatih sebelum ini, Roberto Mancini dipecat ekoran prestasi buruk yang ditampilkan oleh pasukan pada lima aksi kelayakan sebelum ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, dua gol yang dijaringkan oleh pemain Oxford United, Marselino Ferdinan pada separuh masa pertama dan kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan pertama bagi Garuda dalam kempen kelayakan kali ini.

Dengan kemenangan tersebut, Indonesia melonjak ke tangga ketiga dengan enam mata diraih manakala Arab Saudi yang turut mengumpul enam mata berada di tangga keempat.