Seorang pemandu BMW didenda RM5,500 selepas didapati bersalah menghilangkan diri selepas melanggar sebuah Perodua Aruz sehingga menyebabkan pemandunya patah tangan.
Memetik Harian Metro, Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Christopher Lim Ka Hen, 27, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Baca Juga:
- Pemandu Mercedes Mengaku Tak Bersalah Pandu Melulu, Langgar Lari Motosikal
- Kakak Mangsa Langgar Lari Mercedes Terbakar Kongsi Apa Jadi Selepas Kemalangan
- Demi Tolong Mangsa, Lelaki Ini Kejar Sampai Masuk Parkir Rumah Pelaku Langgar Lari
Tertuduh yang juga kakitangan khidmat pelanggan turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta VBN 1189 didakwa memandu kenderaan berkenaan tanpa pertimbangan yang munasabah orang lain yang menggunakan jalan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Danga-Jalan Nusa Bestari, di sini, 3.10 pagi, 17 Januari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu diendorse oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu BMW putih itu.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Aruz yang bergerak lurus di lampu isyarat hijau dirempuh BMW terbabit dari arah kanan yang tidak berhenti.
Pemandu Perodua Aruz yang juga lelaki tempatan berusia 26 tahun patah tangan kanan, manakala pemandu BMW menghilangkan diri dari lokasi itu.