Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 278.3 Lebuh Raya Utara–Selatan (arah utara).
Memetik kenyataan media, kejadian berkenaan mula dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada 20 September 2026 kira-kira jam 3.32 petang, selepas satu video rakaman kamera papan pemuka berdurasi 60 saat tular di media sosial menerusi akaun Facebook DashCam Malaysia.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendent Johari bin Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia berkenaan telah dilanggar oleh sebuah Proton Wira yang dipandu oleh seorang individu yang masih belum dikenal pasti identitinya.
“Berdasarkan rakaman dashcam yang diperoleh, Proton Wira tersebut dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi serta secara melulu dan berbahaya sehingga melanggar Perodua Axia berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia tersebut berpusing sebelum terbabas ke bahu jalan. Walau bagaimanapun, pemandu Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau menambah, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai atau saksi kejadian, khususnya individu yang mempunyai rakaman dashcam berkaitan, untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Nilai di talian 06-7904389 atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Insp. Fadzilah binti Ahmad di talian 016-2895801.