Seorang wanita warga emas di Hong Kong telah didenda HK$2,000 atau kira kira RM1,063.30 kerana melintas di kawasan tidak sepatutnya. Denda itu adalah denda maksimum dikenakan ke atas pejalan kaki.

Wanita warga emas itu tidak mahu menggunakan jejantas yang disediakan. Perbuatannya itu dirakam oleh orang awam yang menggunakan jejantas.

Kesalahan gagal mematuhi peraturan melintas jalan di Hong Kong adalah satu kesalahan yang serius. Kerana ianya bukan sahaja membahayakan keselamatan pejalan kaki, malah mengganggu kelancaran lalu lintas dan meletakkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Denda yang berat ini adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasa di Hong Kong mendidik pejalan kaki agar lebih berdisiplin dalam usaha mereka mengurangkan kes kemalangan jalan raya di kalangan pejalan kaki.

Di Hong Kong masih ramai pejalan kaki yang kurang kesedaran tentang peraturan lalu lintas termasuk tidak mengendahkan isyarat dan papan tanda lalu lintas.

Ini bukanlah kes pertama di Hong Kong di mana pejalan kaki yang tidak melintas di kawasan khas didenda HK$2,000. Kes paling banyak adalah melibatkan pejalan kaki yang melanggar lampu isyarat merah untuk pejalan kaki.

Netizen rata rata menyokong tindakan mendenda pejalan kaki yang dianggap ‘jaywalking’ ini dengan denda berat.

Salah seorang pengguna X berkata: “Sedikit kemalasan dibayar dengan harga tinggi.”

Yang lain berkata: “Sangat menyokong hukuman berat ke atas jaywalking ini, kerana mereka menyusahkan orang lain.”

Ada juga berharap negara mereka melakukan penguatkuasaan yang sama termasuk denda yang berat, seperti Hong Kong ke atas pejalan kaki yang tidak mengikut peraturan.

Namun ada juga yang mempertahankan tindakan wanita itu: “Peraturan mengarut ke atas jaywalking. Manusia sepatutnya berhak untuk berjalan di mana sahaja mereka suka.”

Pandangan itu dibalas: “Kalau begitu, jangan merungut kalau mereka kena langgar.”

1
Foto: X