Isu kegiatan organisasi atau syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan terbaharu, ahli parlimen pula mencadangkan agar hotel-hotel mereka diambil untuk dijadikan muzium ajaran sesat.

Pendedahan sejak dua bulan lalu mengenai organisasi ini menarik perhatian ramai pihak, termasuk pemimpin tertinggi negara, apabila beberapa negeri seperti Perlis dan Pahang mengisytiharkan ajaran serta amalan yang dibawa GISBH sebagai sesat.

Kini, cadangan terbaru yang agak kontroversi dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi tular di laman TikTok.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil alih hotel milik GISBH yang terletak di Langkawi, Kedah, untuk diubah menjadi muzium ajaran sesat.

Menurut Suhaimi, langkah ini bukan sahaja berfungsi sebagai rujukan kepada pelbagai ajaran sesat yang ada di dunia, malah juga menjadi pusat pendidikan yang memberi kesedaran kepada masyarakat, terutamanya golongan muda.

Cadangan Mohd Suhaimi ini disuarakan ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 5 November lalu.

Suhaimi menegaskan bahawa muzium ini bakal memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan dan rujukan kepada masyarakat umum tentang bahaya ajaran sesat, melangkaui batasan agama.

Menurutnya, tidak ada rujukan muzium yang khusus mengenai ajaran sesat di Malaysia.

“Saya cuba cari muzium yang merujuk kepada ajaran sesat tapi tiada yang fokus pada ini, yang ada hanya muzium Drakula di Romania atau England. Sedangkan dalam dunia ini ada pelbagai kes ajaran sesat yang melibatkan pelbagai agama,” katanya.

Cadangan ini juga dilihat berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan yang unik, terutama di Langkawi yang terkenal sebagai destinasi popular pelancong tempatan dan antarabangsa.

Untuk rekod, GISB Holdings atau Global Ikhwan Service and Business Holdings telah menjadi tumpuan apabila CEO syarikat itu, Datin Azura Md Yusof, suaminya Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari (anak bekas pengasas Al-Arqam), dan 19 pemimpin tertinggi GISBH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Mereka didakwa terlibat dalam aktiviti kumpulan jenayah sejak 2020.

Pendedahan ini telah membuka mata rakyat Malaysia terhadap pengaruh ajaran dan amalan organisasi ini.

Susulan siasatan tersebut, operasi serta premis yang dikaitkan dengan GISBH kini dihentikan dan ada yang dilaporkan terbiar begitu sahaja.