Pada akhir September lalu, netizen meluahkan rasa tidak puas hati apabila hotel-hotel di Malaysia tidak konsisten dalam waktu penguna boleh check-in dan check-out.

Dalam satu kemas kini terbaharu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Menurutnya, menginap 23 jam di hotel adalah perkara biasa di luar negara dan ia tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan. Pada masa sama pengguna juga berasakan wang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan lebih banyak, namun perkara ini bukan hanya membabitkan keuntungan pemain industri semata-mata. Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati.

“Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha gembira dengan keuntungan berlipat ganda, sebaliknya jika pelanggan menerima pengalaman penginapan tidak memuaskan, ia memberi gambaran pihak hotel hanya mementingkan keuntungan dan bukan kualiti perkhidmatan,” jelas beliau.

Memetik laporan itu lagi, beliau memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dibangkitkan pengusaha hotel.

Masalah itu menjadikan punca tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama, menyebabkan mereka (pengusaha hotel) bimbang untuk melanjutkan tempoh penginapan kepada para pengguna.

Dalam pada itu, King Sing turut mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membantu mewujudkan kursus berkaitan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel, dengan mereka yang tamat latihan diberikan sijil.

Dengan itu, ia dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel, selain menambah imej profesional pelancongan Malaysia.

Sumber