Memandangkan juadah Malaysia sudah sering kali mendapat tempat di dalam ranking antara tersedap di dunia, maka semakin ramai orang berminat membuka bisnes menjual makanan tradisi tempatan di luar negara.
Namun, untuk mencari yang benar-benar asli atau bahasa lain authentic agak sukar kerana ada banyak juga yang menipu untuk mengaut keuntungan mudah.
Baru-baru ini, seorang YouTuber Barat bersama pasangannya berkongsi video menerokai bandar London di UK sambil mencari kedai yang menjual makanan Malaysia yang asli.

Pada awalnya, dia bercadang untuk pergi ke sebuah restoran yang menawarkan roti canai termurah di bandar itu.
Menurutnya, agak terkejut melihat harga yang ditawarkan di restoran Raya Asia Street Food lebih murah iaitu $5 bersamaan RM21 sahaja kerana kebiasaannya di bandar London ditawarkan sekitar $11 (~RM46.46).

Dia lalu memesan sekeping roti canai bersama kuah dal serta dua biji karipap berintikan kentang yang memberikan jumlah keseluruhan semurah $6.75 (~RM28.51 ) sahaja.

Setakat percubannya, dia sangat berpuas hati dengan kualiti dan rasa yang ditampilkan oleh kedua-dua juadah tersebut dan melabelkan ia sudah terasa authentic seperti yang ada di Malaysia.
Ditambah pula ia diadun dan dibuat secara manual menjadikan ia terasa fresh seperti dimasak di Malaysia.

Dalam perjalanan sewaktu menjelajahi bandar asalnya untuk melepaskan rindu, dia telah menemui satu kedai makan di sebuah sisi jalan yang didakwa menawarkan juadah tradisional dari Malaysia.
Sewaktu mendekati kedai makan terbabit, seorang pekerja lelaki mempromosikan sejumlah juadah yang didakwa berasal dari Malaysia sambil memuji negara Malaysia seolah seperti warganegara asal.

Lelaki bernama Pat itu sudah boleh menghidu akan taktik licik tersebut kerana dia sudah pernah datang ke Malaysia dan cukup berpengetahuan perihal budaya dan tradisi tempatan di Malaysia.
Boleh dikatakan sebahagian besar yang dinyatakan adalah menu yang tidak berkaitan atau bukan sinonim dengan masyarakat Malaysia tetapi cukup berani mengatakan ia adalah makanan tradisi negara ini.
Dia sengaja menguji penjual itu dengan menyoal apakah nama klasik makanan yang datang dari Malaysia. Ternyata jawapan yang diberikan sudah cukup memberikan petanda yang jelas bahawa dia tidak mengetahui budaya dan tradisi di Malaysia.
“Rendang daging dan ayam Machurian, ia adalah kari tradisional dari Malaysia,” katanya dengan yakin.
Sementara itu, dia mempromosikan menu seperti brokoli campur soya stim, tauhu masak masam manis dan juga kari laksa namun kelihatan jauh panggang dari api.
Pat langsung menyoal pekerja lelaki itu dengan soalan dalam Bahasa Malaysia yang langsung membuatkan dia bisu terdiam seribu bahasa.
“Kamu dari mana, boleh cakap Bahasa Melayu?” soalnya berulang-kali yang mana bagi mendapatkan lagi kebenaran akan realiti kedai itu hanya menggunakan nama Malaysia untuk melariskan jualan.

Bagaimanapun, lelaki itu cuba menyakinkan Pat dengan mendakwa dia sememangnya rakyat Malaysia dan berasal dari Pulau Pinang, itu pun dalam Bahasa Inggeris.
YouTuber itu hanya ketawa dan berseloroh menyindir akan kegagalan lelaki bersama kawannya untuk bertutur Bahasa Malaysia walhal dia sendiri boleh berkomunikasi dengan lancar selepas tinggal beberapa tahun di sini.
“Saya boleh cakap Bahasa Melayu. Saya sudah tinggal di Malaysia,” seloroh sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Dalam pada itu, kelihatan menu lain yang dipaparkan tidak mempunyai asal usul dari Malaysia sebagai contoh ayam masak masam manis dan ayam sos kacang hitam.
Baginya, ini sesuatu yang tidak boleh diterima kerana boleh merosakkan reputasi Malaysia di mata dunia. Hal ini kerana ada yang mungkin belum pernah ke Malaysia akan percaya dengan helah ini dan mempelajari juadah tradisional yang salah.
Contoh jika tidak sedap, bertambah buruklah imej juadah Malaysia di mata warga setempat di England dan akhirnya menjadi buah mulut di media sosial pula.
Pekerja itu pula dipercayai berasal dari Bangladesh atau India kerana pelatnya yang terlalu pekat, tidak seperti rakyat Malaysia sebenar.
Oleh itu, dia memberi nasihat kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mencari kedai atau restoran yang menjual makanan Malaysia yang asli. Menurutnya, ini adalah perkara biasa yang dilakukan oleh sejumlah pemilik bisnes yang sengaja mencampur adukkan menu dengan mengaitkan dengan Malaysia untuk meraih keuntungan mudah.