Setahun berlalu dan pada Oktober lalu HUAWEI telah melancarkan model terbaru pada siri Mate iaitu HUAWEI Mate 40 Pro. Siri Mate ini sebelum ini mensasarkan telefon pintar berspesifikasi tinggi dan bersaiz besar buat para pengguna.
Menerusi model keluaran 2020 ini, situasi sedikit berbeza buat HUAWEI kerana tidak lagi dilengkapi dengan Google Mobile Service (GMS) sebaliknya ditawarkan dengan HUAWEI Media Service (HMS).
Di sebalik ketiadaan servis daripada Google, HUAWEI nampaknya terus optimis dalam menghasilkan teknologi dengan spesifikasi dan teknologi serba lengkap ini. Ayuh, ketahui lebih lanjut mengenai model ini menerusi ulasan penuh daripada kami.
Rekaan & Skrin
Menerusi model ini, Huawei sekali lagi memilih rekaan skrin penuh dan melengkung pada bahagian tepi telefon pintar. Pemilihan skrin ini sekaligus membuatkan model ini kekal kelihatan moden pada pendapat kami.
Skrin yang ditawarkan pada HUAWEI Mate 40 Pro adalah 6.76-inci OLED. Takuk kecil pada bahagian atas kiri model ini nyata tidak memberi gangguan sepanjang penggunaan kami.
Menariknya mengenai model terbaru daripada siri ini, HUAWEI turut menambah sokongan refresh rate 90Hz. Dalam erti kata lain, Mate 40 Pro akan sentiasa skrin kelihatan smooth sepanjang penggunaan.
Spesifikasi yang memukau dengan Kirin 9000
Kirin 9000 ialah cip 5nm pertama untuk peranti Android. Berbekalkan 15.3 bilion transistor, cip ini mempunyai 30% lebih banyak transistor berbanding A14 Bionic.
Berdasarkan penggunaan perisian yang terkini, HUAWEI menjamin Mate 40 Pro akan berfungsi sehingga 3 tahun tanpa masalah menjadi perlahan. Dalam erti kata lain, pengguna tidak perlu risau untuk menggunakan HUAWEI Mate 40 Pro dalam tempoh yang panjang sebelum telefon pintar mempunyai prestasi yang sedikit berkurangan.
Sepanjang penggunaan kami juga, model ini dilihat sangat cekap dalam mengakses pelbagai aplikasi. Sebut sahaja aplikasi yang dibuka, semuanya berjaya diakses dengan pantas tanpa sebarang masalah.
Kamera
Menerusi model HUAWEI Mate 40 Pro, jenama ini berjaya menawarkan kamera bersensor 50-megapixel pada kamera utama, sensor 20-megapixel pada lensa ultra-lebar dan sensor 12-megapixel pada lensa telephoto. Kamera hadapan pula ditawarkan dengan lensa 13-megapixel berserta pengimbas 3D bagi tujuan sekuriti.
Sekiranya anda masih meragui dengan kemampuan kamera HUAWEI Mate 40 Pro, model ini turut berjaya mengungguli carta DxOMark beberapa bulan lalu dengan 136 markah. Berikut merupakan percubaan kami mendapatkan gambar menggunakan HUAWEI Mate 40 Pro.
Berdasarkan percubaan, kami dapati model ini berjaya merakam gambar dengan baik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa situasi di mana beberapa gambar yang dihasilkan terlihat kurang menyerlah.
Pengecas 66W yang ditawarkan bersama
Seperkara lagi yang membuatkan kami teruja dengan Mate 40 Pro adalah penawaran pengecasan 66W. Di saat jenama lain sudah mulai tidak lagi menyertakan pengecasan, HUAWEI menerusi teknologi mereka berjaya menawarkan pengecas dengan teknologi pengecasan pantas 66W.
Hasilnya, para pengguna berpeluang mengecas bateri berkapasiti 4,400mAh dengan pantas dalam tempoh yang singkat sahaja.
Ketiadaan GMS masih terasa
Sejujurnya di sebalik segala spesifikasi dan teknologi yang ditawarkan HUAWEI, ketiadaan Google Mobile Service (GMS) masih lagi terasa. Meskipun terdapat altenatif lain dalam mengakses aplikasi-aplikasi seperti YouTube, harus diakui HUAWEI Mobile Service (HMS) masih boleh setanding servis yang ditawarkan Google pada peranti Android jenama lain.
Walau bagaimanapun, dapat dilihat percubaan baik HUAWEI dalam menawarkan lebih banyak akses pada aplikasi keluaran mereka serta App Gallery yang sudah menawarkan lebih banyak aplikasi untuk dimuat turun.
Kesimpulan
HUAWEI sudah berjaya menawarkan yang terbaik menerusi Mate 40 Pro. Skrin yang jelas, penuh dan terang. Dari segi kamera, pengecasan pantas dan rekaan semuanya berjaya diselesaikan HUAWEI dengan baik menerusi model ini.
Mate 40 Pro sedia untuk didapatkan dengan harga RM4,299. Menariknya, para pengguna berpeluang menerima beberapa hadiah menarik pada setiap pembelian Mate 40 Pro.
Sekiranya anda sudah terbiasa dengan HMS dan ketiadaan GMS bukan masalah buat anda, Mate 40 Pro sememangnya pilihan terbaik untuk anda dapatkan untuk peggunaan setidaknya dua atau tiga tahun.
Ketahui juga 7 ciri terbaik yang ditawarkan pada HUAWEI Mate 40 Pro dengan klik pautan di bawah.
Inovatif Dan Serba Boleh, 7 Ciri Terbaik Yang Ada Pada HUAWEI Mate40 Pro