Kelab Liga Super China, Shandong Taishan telah digantung daripada menyertai saingan peringkat benua selama dua tahun susulan kegagalan mereka untuk beraksi dalam satu perlawanan AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25.
Keputusan Shandong untuk tidak hadir ke perlawanan menentang Ulsan HD pada 19 Februari lalu telah menyebabkan mereka dianggap menarik diri daripada kejohanan selepas ia bermula.
Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: Gol Tunggal Zeca Bantu Shandong Taishan Atasi JDT

- Dapat Khidmat 3 Pemain Lebih Awal Untuk Hadapi ACL Elite 2024/25, JDT Ucap Terima Kasih Kepada Skuad Negara

- Senarai Lengkap Pasukan & Jadual Aksi Pusingan 16 ACL Elite 2024/25

Hukuman tersebut selaras dengan Artikel 5 dalam Peraturan Pertandingan ACL Elite yang menjadi asas utama kepada kes yang perlu mereka jawab dan dikenakan hukuman.
Hukuman Diterima Shandong Taishan
Keputusan tersebut telah dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 30 Julai lalu yang menyaksikan Shandong Taishan tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang kejohanan anjuran AFC sekurang-kurangnya sehingga musim 2027-28.
Selain itu, kelab tersebut juga turut dikenakan denda sebanyak $50,000 (RM211,830.57).
Bayaran tambahan yang diterima oleh Shandong sebagai yuran penyertaan dan bonus prestasi berjumlah $800,000 (RM3,390,358.93) turut diarahkan untuk dikembalikan kepada AFC.
Mereka juga perlu membayar pampasan sebanyak AS$40,000 (RM169,517.95) yang dituntut oleh kelab Ulsan dari Korea Selatan itu susulan kerugian yang berpunca daripada keputusan saat akhir Shandong untuk tidak menyertai perlawanan tersebut.
Difahamkan menurut sumber ESPN, insiden dramatik itu tercetus apabila Shandong menyatakan hasrat mereka untuk tidak hadir ke perlawanan hanya beberapa jam sebelum sepak mula dengan alasan berlakunya ‘ketidakselesaan fizikal yang serius dalam kalangan ahli pasukan’.
Penarikan diri pasukan tersebut dalam saingan ACL Elite tempoh hari telah menyaksikan perubahan terhadap kedudukan peringkat kumpulan dan penentuan aksi bagi pusingan 16.