Hutang Persekutuan pada akhir 2022 dicatatkan RM1,079.591 bilion, meningkat sebanyak RM99.777 bilion atau 10.2 peratus berbanding RM979.814 bilion pada 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula dicatatkan pada kadar 60.3 peratus, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

Katanya, nisbah statutori Hutang Persekutuan yang membabitkan Bil Perbendaharaan Islamik, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Sekuriti Kerajaan Malaysia berjumlah RM1.032 trilion adalah pada nisbah 57.6 peratus kepada KDNK.

Sumber Gambar: Berita Harian

“Nisbah ini adalah di bawah had statutori 65 peratus kepada KDNK yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022,” katanya dalam kenyataan Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022.

Sementara itu, kedudukan Liabiliti Persekutuan pada 2022 berjumlah RM1.399 trilion, iaitu meningkat sebanyak RM94.116 bilion atau 7.2 peratus berbanding RM1.305 trilion pada 2021.

Wan Suraya berkata, nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK adalah 78.1 peratus, iaitu menurun berbanding 84.3 peratus pada 2021.

Katanya, Liabiliti Kewangan terdiri daripada Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Komitmen Kewangan serta Pelbagai Liabiliti pada 2022 pula dicatatkan sebanyak RM319.571 bilion.

“Daripada jumlah itu sejumlah RM34.492 bilion adalah Liabiliti PFI yang mana kedudukan baki dicatatkan berkurangan sebanyak RM1.083 bilion atau tiga peratus.

“Pada 2021, kedudukan baki dicatatkan sebanyak RM35.575 bilion. Sejumlah RM2.493 bilion sudah dibelanjakan bagi melunaskan prinsipal pinjaman dan bayaran faedah,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.2 trilion.

Sumber