Nama Big Bad Wolf Books (BBW) tidak asing lagi bagi pencinta buku di Malaysia, malah di peringkat global.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik kejayaan jenama gergasi ini, ia pernah mengalami satu fasa di mana menanggung ‘hutang mega’ akibat pandemik COVID-19 dan PKP.

Menerusi hantaran Threads @hafizhasan_simplifi, sebelum PKP melanda, Big Bad Wolf berada di puncak gemilang.

Dengan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap membaca, jualan tahunan mereka pernah mencecah RM300 juta setahun.

Namun, apabila pandemik bermula dan sekatan pergerakan dilaksanakan, perniagaan fizikal yang menjadi nadi utama BBW terhenti serta-merta.

Kesannya, BBW menanggung hutang sebanyak RM220 juta.

Pengasas BBW, Andrew Yap pernah dinasihatkan untuk mengisytiharkan bankrap dan membuka perniagaan baharu menggunakan nama orang lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa “Big Bad Wolf adalah segala-galanya bagi beliau, dan bukan mudah untuk mencapai jualan ratusan juta dengan jenama yang baharu.”

Dengan moto belajar perkara baharu setiap hari, beliau menganggap hutang RM220 juta ini sebagai satu cabaran baharu.

Menjelang tahun 2026, beliau telah berjaya menyelesaikan kesemua hutang tersebut.

Kongsi Threads @hafizhasan_simplifi lagi — “Perkara menarik mengenai Encik Andrew Yap adalah beliau tidak pernah menamatkan persekolahan atau melanjutkan pelajaran ke universiti atas faktor keluarga yang kurang berkemampuan.

“Disebabkan itulah beliau amat mencintai buku, kerana pendidikan merupakan sesuatu yang hilang dalam hidup beliau sebelum ini. Seorang the real hustler. Tabik hormat, Tuan Andrew Yap!”

Respon Peribadi Pengasas Bersama Big Bad Wolf Books

Perkongsian Threads @hafizhasan_simplifi  telah mendapat perhatian lebih 206,850 tontonan warganet.

Salah satunya adalah Andrew Yap sendiri. Beliau turut berkongsi respon peribadinya.

“Terima kasih @hafizhasan_simplifi kerana berkongsi tentang perkara ini. Kepada sesiapa sahaja yang meluangkan masa untuk membaca, berkongsi, dan meninggalkan kata-kata yang murni, terima kasih saya ucapkan.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka kisah ini akan menyentuh hati begitu ramai orang. Ramai yang bertanyakan kepada saya, apakah yang telah membantu Big Bad Wolf mengharungi salah satu babak paling sukar dalam perjalanan kami. Hakikatnya, tiada satu pun keputusan ajaib.

“Ia merupakan ribuan keputusan kecil yang dibuat pada setiap hari, berpandukan satu kepercayaan—iaitu buku sepatutnya mampu milik dan boleh diakses oleh semua orang.

“Pernah ada ketika masa hadapan terasa samar dan tidak menentu. Namun, setiap pembaca yang melangkah masuk melalui pintu kami, setiap rakan kongsi yang mempercayai kami, dan setiap ahli pasukan kami memberikan kami satu lagi alasan untuk terus melangkah.

“Perkongsian semalam bukan sekadar tentang mengatasi hutang. Ia adalah tentang daya tahan, tujuan, dan tidak pernah hilang fokus terhadap matlamat asal mengapa kami bermula.

“Terima kasih kerana mengingatkan saya bahawa kisah kami bukan hanya milik kami sahaja, tetapi milik semua orang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Usaha kami tetap diteruskan, sebaris buku dan seorang pembaca pada satu-satu masa. Jumpa tidak lama lagi, Kota Bharu. Ikhlas, Andrew. (Pengasas Bersama BBW),” kata beliau.