Melihat video-video kemalangan adalah merupakan perkara normal yang sering berlaku di media sosial terutamanya sejak wujudnya penggunaan dash cam dalam kalangan pengguna jalan raya di negara kita.

Dengan adanya teknologi rakaman berkualiti tinggi ini juga, kita dapat menyaksikan pelbagai kerenah pengguna jalan raya yang berjaya dirakam ketika berada di jalan raya.

Seperti dalam satu perkongsian yang dibuat di Twitter yang menunjukkan sebuah kereta berwarna putih dipercayai model Myvi terlanggar sebuah kereta polis awal pagi tadi.

https://twitter.com/Tsgxy_/status/1225233823144693760

Kereta Proton Waja milik Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu dikatakan sedang berhenti bagi memberikan bantuan kepada sebuah lagi kereta polis yang mengalami kerosakan ketika itu.

Maklumat yang tertera di papan pemuka rakaman dash cam tersebut menunjukkan insiden tersebut baru sahaja berlaku pada awal pagi tadi sekitar jam 3 pagi.

Portal Harian Metro kemudiannya melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun sudah ditahan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah sebab yang menyebabkan perlanggaran tersebut berlaku pada awal pagi tadi.

“Difahamkan seorang lelaki yang juga pemandu kereta Myvi berusia 20-an ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

“Bagaimanapun ujian perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara itu,” kata sumber tersebut.

Terdahulu, seorang lagi pengguna Twitter juga turut berkongsi satu rakaman video berbeza yang menunjukkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya dan melanggar penghadang jalan dalam kejadian yang dipercayai berlaku juga pada awal pagi tadi.

Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada kedua-kedua kereta tersebut adalah kereta yang sama dan beliau juga meminta agar netizen yang mempunyai maklumat mengenai kereta itu agar berkongsi dengannya.

Kejadian-kejadian kereta yang dipandu secara berbahaya ini sudah pasti merisaukan kita semua untuk berada di jalan raya terutamanya di waktu malam.

Apa yang boleh dilakukan di pihak pengguna jalan raya yang lain adalah untuk melaporkan kepada pihak polis sekiranya melihat sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan memastikan keselamatan diri sentiasa terjaga.

Semoga mereka semua yang terlibat dalam kejadian pada awal pagi tadi selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Baca kisah lelaki ini yang hampir maut selepas dilanggar pacuan empat roda dari belakang ketika sedang menunggang motosikal di lebuh raya. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Penunggang Motosikal Ini Hampir Maut Dilanggar Ford Ranger Dari Belakang Yang Dipandu Secara Berbahaya

Tidak Mahu Pemandu Mabuk Terus Berleluasa, Polis Setuju Cadang Hukuman Lebih Berat

Netizen Bengang ‘Geng Kereta Mahal’ Sebabkan Kemalangan Kerana Berlumba