Profesion guru sememangnya dipandang tinggi dalam masyarakat kerana mereka menjadi pemangkin anak bangsa. Bersempena sambutan Hari Guru, ramai ibu bapa berusaha mahu memberikan hadiah sebagai penghargaan dan memperingati jasa mereka.

Seperti yang tular di media sosial, sejumlah gambar yang dimuat naik oleh ibu bapa yang mempamerkan hadiah yang bagus termasuk barangan dan bungkusan makanan berjenama.

Walaupun niat di hati adalah murni, realitinya ada pandangan sisi lain yang mungkin ramai tidak sedar maksud sebenar menghayati Hari Guru bukan sekadar dengan memberi materialistik semata-mata.

Ibu Bapa Beri Hadiah 'Terlalu' Mewah, Respon Guru Ini Jentik Hati Ramai
Sumber Gambar: Threads

Menerusi hantaran berkenaan, terdapat beberapa komentar daripada sebahagian tenaga pengajar yang meninggalkan pesanan yang cukup menjentik hati sesiapa yang membaca sekaligus memberi refleksi diri.

Bagi seorang guru ini, dia berkata bahawa dirinya tidak mengharapkan hadiah yang mahal tetapi dengan anak murid melakukan kerja rumah dan berahlak baik itu lebih bermakna.

Hal ini kerana timbul dakwaan ada di kalangan sesetengah ibu bapa yang melihat guru-guru seperti terlalu mengharapkan hadiah pula walhal bukan sebegitu.

Seorang guru lain turut mendedahkan dia terima seadanya hadiah yang diberikan dan tidak terlalu kisah tentang hadiah namun cukup dengan titipan doa yang menghargai perjuangan mereka dalam membina anak bangsa.

Tambah pendapat dari seorang guru sekolah menengah yang menekan tentang empati di mana terdapat pelajaran penting untuk mendidik anak-anak memberi hadiah yang mampu milik agar dia tidak segan sewaktu berada di dalam kekurangan di kemudian hari.

Sebuah komen lagi turut meluahkan kerisuan dengan ibu bapa yang terpaksa bergelut dengan krisis ekonomi tetapi masih bersungguh mahu memberikan hadiah bersempena sambutan Hari Guru.

Ujarnya, apa yang lebih penting adalah untuk mendidik anak-anak agar mendoakan yang terbaik buat guru dan juga tidak lupa untuk bijak menghormati, hargai dan mengingati segala jasa guru yang dicurahkan sepanjang di bangku sekolah.

Kalau mahu beri sekalipun, pastikan mengikut kadar kemampuan masing-masing kerana tiada apa yang lebih bermakna buat guru selain kejayaan anak muridnya untuk mencapai cita-cita yang diimpikan dan menjadi insan yang berguna buat masyarakat.

Tidak kurang juga ada yang berseloroh meminta ibu bapa untu mempertimbangkan membeli pen atau marker yang mampu milik kerana sememangnya akan dipakai pada setiap hari oleh mereka.

Kesimpulannya, kemewahan material bukanlah kayu pengukur kepada nilai sebuah penghargaan. Di sebalik reben hiasan dan bungkusan hadiah yang mahal, apa yang didambakan oleh seorang insan bernama guru hanyalah keikhlasan, rasa hormat, dan untaian doa daripada para pelajar serta ibu bapa.

Hari Guru sepatutnya menjadi momen untuk kita merefleksi jasa, bukan pentas mempamerkan kekayaan hingga mengguris hati golongan yang kurang berkemampuan.

Ingatlah, hadiah terbaik buat seorang pendidik bukanlah barangan yang berjenama, tetapi melihat anak-anak didiknya membesar menjadi insan yang berakhlak mulia dan berguna kepada agama, bangsa, dan negara.