Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Florida, Amerika Syarikat, mencuri perhatian selepas ibu bapanya mendakwa anak mereka disingkirkan daripada perlawanan bola sepak kerana terlalu hebat bermain sehingga dianggap memalukan pemain lain.
Insiden yang berlaku pada hujung minggu lalu itu menjadi tular selepas rakaman video daripada kamera badan polis menunjukkan perbalahan antara ibu bapa kanak-kanak bernama Nevada dengan penganjur perlawanan.
Menurut laporan The Guardian, ibu bapa Nevada mendakwa anak mereka dikeluarkan daripada permainan kerana terlalu bagus bermain bola sepak berbanding kanak-kanak lain.
“Ibu bapa mereka marah kepada anak saya kerana dia benar-benar bermain bola sepak.
“Mereka secara tidak langsung menyingkirkannya dari tempat ini kerana dia bagus bermain bola sepak,” kata ibu Nevada dalam rakaman kamera badan polis.
Dalam rakaman tersebut ayahnya menegaskan bahawa ada ibu bapa pelajar lain yang bengang kerana Nevada menggelecek anak mereka sesuka hati.
Sukar untuk pemain lain merampas bola daripada kakinya.
“Mereka memanggil polis kerana dia terlalu bagus, dia memegang bola terlalu lama,” kata ayahnya.
Pihak penganjur kemudian tampil dengan versi berbeza. Menurut penganjur, polis dipanggil kerana Nevada bermain kasar, dia menolak beberapa pemain lain walaupun sudah diberikan amaran berkali kali oleh pengadil.
Selain itu, penganjur juga mendakwa ibu bapa Nevada mengganggu pemain lain kerana terlalu bising di tepi padang