Kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayyan Rayyan Abdul Matiin pada Disember tahun lalu mula menjadi bualan semula apabila dilaporkan polis telah menahan ibu bapanya.
Pasangan terbabit ditahan di Puncak Alam, kira-kira 11 pagi jumaat.
Bagaimanapun, butiran berkaitan penahanan terbabit belum diperoleh setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan berkaitan tangkapan.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Perkembangan terbaharu ini lantas menjadi perbualan hangat di kalangan netizen yang mana sangat terkejut dengan penahanan tersebut dan mengganggap ia sebagai satu plot twist yang tidak disangka.
Laporan terbaharu mendedahkan bahawa ibu bapa kepada Zayn Rayyan akan direman pada pagi ini, mengikut siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.