Baru-baru ini heboh di media sosial apabila seorang wanita telah meminta agar para suami untuk menghargai isteri mereka dengan memberi upah menyusu.

Sambil mengeluarkan hukum sendiri dengan mengatakan bahawa para suami ‘wajib’ membayar upah menyusu, permintaan beliau itu disanggah ramai dan sebahagian pula mendakwa bahawa beliau jahil.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kenyataan ini hadir daripada salah seorang pengguna X/Twitter, dalam ciapannya beliau meluahkan rasa sakit yang dialami olehnya apabila menyusukan anak.

Dalam menyuarakan rasa sakit, beliau turut menyatakan bahawa, “Sebab tu dalam agama, wajib ya bagi upah menyusu pada ibu. You ingat susu formula mahal? Sakit perit ibu menyusu anak ni pulak macam mana harga dia.”

Tindakan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut telah menyemarakkan media sosial dengan pelbagai kecaman.

Ada netizen yang menyatakan bahawa ibu ‘moden zaman now’ selalu hadir dengan permintaan yang tidak masuk akal.

Manakala sebahagian pula menyelar tindakan beliau yang tidak memahami hukum agama.

Bagaimanapun, persoalan yang bermain kini benarkah di dalam Islam suami ‘wajib’ membayar upah menyusu kepada isteri?

Dalam satu ciapan balas oleh seorang pemengaruh media sosial yang dikenali sebagai Muzuza, beliau menyantun persoalan tersebut dengan penuh hemah dan beretika ditengah-tengah kecaman yang diterima oleh wanita tersebut.

Muzuza dalam ciapannya berkata bahawa setiap hukum yang keluar – wajib, sunat dan seumpamanya – ia perlu menelusuri asas dalil, di dalam kes ini, beliau berkata, “antara dalil yang diketengahkan ialah ayat 6 dari surah al-Ṭalaq.”

Tetapi ia perlu didasari dengan tafsiran terlebih dahulu bagi memahami apakah makna di sebalik dalil tersebut.

“Ibn Kathīr menyatakan bahawa jika seorang wanita melahirkan anak, kemudian dia diceraikan, maka telah tamat iddah, dia boleh menyusukan anak. Juga dinyatakan bahawa walinya akan membayar upah yang telah dipersetujui.

“Abū Bakr Ibn al-ʿArabī menghuraikan khilaf ulama’ tentang siapakah yang perlu menanggung perihal menyusu. Beliau menyatakan al-Imām al-Shāfiʿī dan al-Imām Abū Ḥanīfah berpandangan tidak wajib ke atas si ibu menanggung perihal ini.

“al-Ṭabarī menyatakan bahawa jika si ibu menyusukan si anak, maka berilah upah. Namun, al-Ṭabarī menyatakan bahawa “ibu” di sini dengan nama al-Bawāʾin iaitu mereka yang telah ditalakkan.

“Justeru, kita dapat melihat bahawa tafsiran di sini adalah melibatkan isteri yang telah diceraikan, bukanlah isteri yang masih bersama dengan suaminya.

“Begitu juga kita dapat lihat konteks bagi ayat ini adalah dalam surah al-Ṭalaq, surah yang membicarakan tentang cerai,” katanya dalam ciapan panjang.

Secara dasarnya, Muzuza dalam jawapan pendek berkata bahawa para suami tidak wajib untuk memberi upah menyusu kepada isteri kerana sememangnya suami wajib memberi nafkah.

Berkenaan surah yang dibahaskan oleh beliau, ia adalah berkenaan isteri yang menyusukan anak dan telah diceraikan serta sudah habis iddahnya.