Nota Editor : Kisah penuh pengajaran ini asalnya diterbitkan di fb wall Muhammad Rusydi, seorang guru dan penulis di Rusydee Artz. Kami menerbitkan semula di The Vocket dengan keizinan beliau. Semoga anda mendapat manfaat dari tulisan beliau di bawah.

mangsa-banjir

Air dah mulai surut.

Seorang ibu tunggal bersama empat orang anaknya duduk di hadapan tapak rumahnya. Dengan beg sandang di belakangnya.

Rumahnya sudah roboh. Ranap dibawa arus deras. Tinggal kerangka dan tiang-tiang saja. Lumpur memenuhi laman rumah, menyelaputi sisa-sisa peninggalan rumah.

Anaknya yang berumur 8 tahun bertanya, “Ibu, kita nak tinggal di mana lepas ni?”

Ibunya cuma tersenyum. “Di sinilah. Di bawah khemah. Bezanya, setiap malam kita akan berbaring sambil tengok langit Allah yang sangat indah.”

Anaknya yang lain mencelah, “Tapi, nanti banyak nyamuk.”

Ibunya senyum lagi. “Tak mengapa. Ibu boleh pasang ubat nyamuk dan penyet-penyet nyamuk tu kalau mereka sampai hati gigit anak-anak ibu ni.”

Anaknya yang lain pula bertanya, “Kenapa ibu tak nampak sedih?”

Ibunya menghamparkan tikar sumbangan orang ramai. Mengajak anak-anaknya duduk. “Selepas musibah yang datang ini, ada banyak benda yang buat ibu gembira;

Pertama sekali, kita sekeluarga masih bersama. Tak terpisah. Semua selamat. Hilang harta, boleh dicari. Hilang ahli keluarga, tiada ganti.

Kedua, solat. Anak-anak ibu semua dengar cakap ibu, tak tinggalkan solat walaupun dalam keadaan darurat.

Ketiga, ramai sukarelawan datang bantu dan beri sumbangan. Anak-anak ibu tak berlapar dan dapat selimut. Tak kesejukan. Gembira sangat dapat merasa air bersih dan sesuap nasi.

Keempat, kesihatan. Ibu masih sihat dan kuat untuk jaga anak-anak ibu.”

Anak sulungnya yang berumur 11 tahun bertanya : “Kenapa Allah buat kita macam ni, ibu? Tak kesiankah pada kita? Kita bukan orang kaya. Rumah pun rumah papan saja.”

Ibunya senyum. “Allah sedang mendidik, sayang. Didikan Allah tidak sama dengan didikan manusia. Didikan tentang sabar dan syukur. Sesuatu perkara itu kadang-kadang dapat menimbulkan kesedihan bila dilihat dari satu sudut, tapi dapat menimbulkan kegembiraan bila dilihat dari sudut yang lain.

Sabar adalah pengimbang pada kesedihan. Syukur adalah pengimbang pada kegembiraan. Sedih memang sedih hilang tempat tinggal, tapi cuba fikir jauh ke depan. Fikir yang Allah sudah siap ganti rumah itu dengan mahligai di Syurga, happy tak?

Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” ( QS Az-Zumar ayat 10 )

Setiap ujian, ada tempoh waktu tamat. Setiap kertas peperiksaan ada tempoh masa menjawabnya. Ini ujian kita, bukannya tidak akan berakhir. Ada penamatnya. Mari kita bersyukur dengan ujian ini. Syukur sebab kita bertuah dipilih Allah. Orang yang tidak diuji, dia takkan sedar kelemahan imannya.

Allah berfirman, “Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur serta kamu beriman.” ( QS An-Nisa’ ayat 147 )

Jika kita bersyukur, Allah tambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita. Insya-Allah. Anak-anak ibu sayang, dunia ini tak ada yang milik kita. Semua milik Dia. Hatta ibu sekalipun, milik Dia. Anak-anak ibu ini pun, milik Dia.”

Anaknya yang 8 tahun tadi bersuara lagi : “Tapi, sekolah…kita dah tak ada baju sekolah nak pakai. Dah tak ada duit bayar yuran sekolah.”

Ibunya senyum dan senyum lagi.

“Kenapa ibu senyum?” Anak-anaknya hairan melihat telatah ibunya.

“Cuba teka apa yang berada dalam beg ibu ni? Sejak hari pertama banjir, beg inilah yang ibu bawa ke mana-mana.”

Ibu itu membuka beg di hadapan anak-anak. Anak-anaknya terkejut tapi gembira tak terkata. Melompat-lompat mereka gembira.

“Baju sekolah!” “Eh, ada Al-Quran kita sekali!”

Yup. Ibu itu menyelamatkan baju-baju sekolah anak-anaknya bila air naik. Dicapainya Al-Quran milik anak-anaknya. Ditinggalkan benda-benda lain.

“Kasut saja tak ada. Tak mengapa. Nanti adalah tu rezeki lepas ini. Lepas ni, hari-hari kena baca Al-Quran depan ibu ya.”

Anak-anaknya memeluk ibu tersayang. Anak sulung bersuara, “Ibu, nak nyanyi satu lagu kat ibu, boleh?”

Ibunya mengangguk mempersilakan. Tersenyum riang. Keempat-empat adik beradik berdiri di hadapan ibu mereka. Nyanyi sama-sama.

“Ibu, tajuk lagunya, ‘hujung waktu‘.

Ibu.. akuuuuuuuuuu cinta padamuuuuuuu, walau tiada lagi, hijau bumi, masih terabadi

Ibuuuuu akuuuuuuuuu cinta padamuuuuuuuu
Ibuuuuu akuuuuuuuuu cinta padamuuuuuuu
biarpun bintang jatuh, langit gugur, hingga ujung waktuuu”

Like page The Vocket di Facebook