iCAUR Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan pengenalan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi model kenderaan elektrik popularnya, iCAUR V23.

Langkah ini diambil susulan kejayaan luar biasa jenama tersebut yang berjaya melonjak ke kedudukan tiga teratas dalam segmen kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2026.

Model iCAUR V23 iWD CKD yang mula dikilangkan pada bulan ini dijadualkan tiba di semua rangkaian bilik pameran sah bermula akhir Julai.

Kualiti CBU, Harga CKD: iCAUR V23 Pemasangan Tempatan Bermula RM132,780
Sumber Gambar: iCAUR Malaysia

Apa yang menarik, varian CKD ini mengekalkan sepenuhnya spesifikasi tinggi dan kualiti premium yang terdapat pada versi import (CBU) sebelum ini, malah tanda harganya juga kekal kompetitif pada RM132,780.

Menurut Encik Francis Chin, Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, peralihan kepada pemasangan tempatan ini bukan sekadar satu pencapaian pengeluaran, tetapi merupakan bukti komitmen jangka panjang jenama tersebut terhadap pasaran automotif Malaysia.

Langkah ini membolehkan iCAUR bertindak lebih tangkas dalam memenuhi permintaan pasaran serta menjamin bekalan kenderaan yang lebih stabil kepada para pelanggan.

Kualiti CBU, Harga CKD: iCAUR V23 Pemasangan Tempatan Bermula RM132,780
Sumber Gambar: iCAUR Malaysia

Dari segi reka bentuk, iCAUR V23 terus mempertahankan identiti uniknya melalui gaya Boxy Retro Classic.

Penampilan yang menggabungkan perwatakan lasak dengan estetika kenderaan elektrik moden ini menjadikannya sebuah jentera yang bukan sahaja praktikal untuk pemanduan harian, malah sarat dengan personaliti bagi memenuhi cita rasa generasi muda.

Jenama global ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara kepakaran automotif Chery dan teknologi ketersambungan digital SmartMi Tech.

Kualiti CBU, Harga CKD: iCAUR V23 Pemasangan Tempatan Bermula RM132,780
Sumber Gambar: iCAUR Malaysia

Pengenalan model CKD ini juga dilihat sebagai sokongan padu terhadap agenda kelestarian negara, terutamanya dalam menyokong matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Mobiliti Karbon Rendah (LCMB) yang mensasarkan 80% penggunaan kenderaan elektrik menjelang tahun 2050.

Para peminat tegar kenderaan elektrik dan orang ramai yang berminat dijemput untuk mengunjungi bilik pameran iCAUR terdekat sebelum penghujung Julai ini untuk melihat model iCAUR V23 CKD secara dekat serta menempah sesi pandu uji.