Jenama kasut tempatan, IJMAL mencipta sejarah menerusi pelancaran koleksi terbaharu, Nala Nana, yang menggunakan serat pisang sebagai sebahagian daripada bahan pembuatannya.
Diasaskan oleh Burhanudin Yusof dan Faratihah Ibrahim, IJMAL yang kini memasuki tahun ke-11 terus komited menghasilkan kasut yang menggabungkan keselesaan, kualiti dan inovasi.
Pelancaran Nala Nana turut menjadi langkah terbaharu IJMAL dalam memperkasakan fesyen lestari melalui penggunaan bahan alternatif yang lebih mesra alam. Sebelum ini, jenama tersebut pernah menghasilkan kasut menggunakan serat nanas menerusi inisiatif kelestarian tahunannya, REIJMAL.
Sisa Yang Diberi Nilai Baharu

Menurut Burhanudin, koleksi itu membuktikan bahan yang sering dianggap sebagai sisa pertanian boleh diberikan nilai baharu melalui penyelidikan dan inovasi.
“Nala Nana bukan sekadar koleksi baharu, malah menjadi simbol bagaimana bahan yang sering dianggap sebagai sisa pertanian mampu diberi nafas baharu.
“Kami berharap usaha ini dapat mengangkat nama Malaysia dalam industri fesyen lestari dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat tempatan,” katanya.
Pembangunan material serat pisang itu merupakan hasil kerjasama penyelidikan antara Bambusoideae Technology Sdn Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dalam masa sama, Faratihah berkata penggunaan material alternatif tidak menjejaskan aspek keselesaan yang menjadi identiti IJMAL.
“Kami mahu membuktikan bahawa kasut mesra alam tidak semestinya mengorbankan keselesaan. Walaupun menggunakan serat pisang, standard keselesaan IJMAL tetap dikekalkan untuk kegunaan harian,” katanya.
Dilancarkan pada 25 Jun 2026, koleksi Nala Nana hadir dengan rekaan moden dan elegan serta ditawarkan dalam kuantiti terhad dan info lanjut boleh didapati di IJMAL.