Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan seekor ikan yang ditangkap di Empangan Klau, Pahang pada 26 Ogos lalu mempunyai ciri morfologi yang konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.

Pengesahan tersebut dibuat berdasarkan penilaian teknikal oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan menerusi analisis gambar dan rakaman video.

Bagaimanapun, pengesahan muktamad bagi peringkat spesies tidak dapat dilakukan berikutan spesimen fizikal tidak disimpan untuk pemeriksaan lanjut, petik Buletin TV3.

Ikan berkenaan dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum pihak berkuasa sempat menjalankan siasatan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain menegaskan bahawa setakat ini kejadian tersebut merupakan kes terpencil dan tiada bukti menunjukkan kewujudan populasi piranha yang membiak di kawasan berkenaan.

Pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau ancaman keselamatan.

Orang awam diminta kekal tenang kerana tiada ancaman populasi piranha yang bertapak di empangan tersebut.

Pejabat Perikanan Negeri Pahang diarah meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, DOF mengingatkan awam bahawa pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum boleh merosakkan ekosistem perairan darat, mengancam populasi ikan tempatan, dan menjejaskan kepelbagaian biologi akuatik.

Sumber