Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Pulau Pinang dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan satu penemuan perikanan yang signifikan di Sungai Kuala, Pulau Pinang pada 30 Ogos 2026.

Memetik kenyataan tersebut, seekor spesimen Ikan Kanai—yang turut dikenali sebagai Tembaring atau Papuan Black Bass (Lutjanus goldiei) telah berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan di kawasan berkenaan.

“Menurut maklumat komuniti nelayan setempat, penemuan ini merupakan rekod tangkapan pertama spesies berkenaan di kawasan tersebut dalam tempoh kira-kira 15 tahun.

“Penemuan ini amat bernilai bagi pengemaskinian data dan rekod perikanan negara,” kata Jabatan Perikanan Malaysia Pulau Pinang.

Ikan Kanai merupakan spesies pemangsa estuari yang menjadi idaman pemancing sukan (sport fishing) kerana daya juang dan ketahanannya yang tinggi. Taburan asal spesies ini lebih tertumpu di kawasan estuari Sabah serta Papua New Guinea.

Justeru, kemunculannya di perairan Pulau Pinang menjadi satu pemerhatian saintifik yang menarik dari sudut taburan geografi.

Menurut DOF Pulau Pinang, spesies Ikan Kanai ini lazimnya mendiami kawasan estuari dan pesisir sungai yang dipengaruhi pasang surut air, terutamanya di sekitar vegetasi bakau dan nipah yang berfungsi sebagai habitat perlindungan serta kawasan asuhan.

Kehadirannya di Sungai Kuala membuktikan bahawa ekosistem semasa kawasan tersebut masih berupaya menyokong keperluan ekologi spesies berkenaan.

Pada masa sama, DOF Pulau Pinang menegaskan bahawa Ikan Kanai (Lutjanus goldiei) merupakan spesies tempatan (native species) dan amat berbeza daripada spesies Black Bass air tawar (Micropterus salmoides) yang tergolong dalam kategori spesies asing.

“Memandangkan populasi Ikan Kanai amat jarang ditemui serta sensitif terhadap perubahan persekitaran, Jabatan Perikanan Malaysia menyeru komuniti nelayan dan pemancing agar mengamalkan kaedah tangkap dan lepas (catch and release).

“Langkah ini penting bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian populasi spesies ini di perairan negara kekal terjamin,” petik kenyataan rasmi.