Berita gembira buat seluruh warga Sarawak yang sekian lama menantikan kehadiran gedung hiasan dalaman terkemuka dunia.

IKEA Malaysia secara rasminya mengumumkan pembukaan cawangan pertamanya di Borneo yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2026 di Kuching.

Akhirnya Ke Borneo, Ini Kelainan IKEA Kuching Yang Bakal Dibuka Disember Ini
Sumber Gambar: Website IKEA

Langkah ini menandakan babak baharu buat IKEA dalam memperluaskan pengaruhnya di East Malaysia, sekali gus membawa pengalaman membeli-belah secara fizikal lebih dekat dengan masyarakat setempat selepas sekian lama berhubung menerusi platform dalam talian dan perkhidmatan penghantaran.

Pengalaman Membeli-belah Baharu Dalam Format Kompak

Berbeza dengan empat gedung gergasi IKEA sedia ada di Semenanjung Malaysia, IKEA Kuching bakal memperkenalkan konsep format kecil pertama di negara ini.

Format ini direka khusus untuk menyajikan pengalaman IKEA yang lengkap, praktikal dan mudah diakses dalam suasana yang lebih santai serta kompak.

Meskipun saiznya lebih mesra ruang, para pengunjung tetap berpeluang menerokai pelbagai inspirasi ruang kediaman, penyelesaian hiasan dalaman, serta membawa pulang barangan terpilih pada hari yang sama.

Bagi pilihan produk yang lebih luas, pelanggan masih boleh membuat tempahan dengan mudah melalui kemudahan akses katalog lengkap yang disediakan.

Rekaan Yang Menyentuhi Jiwa Dan Gaya Hidup Tempatan

Kehadiran IKEA ke ibu negeri Sarawak ini bukan sekadar membuka pintu kedai semata-mata. Sebelum pengumuman ini dibuat, pihak IKEA telah meluangkan masa mendekati masyarakat Kuching menerusi sesi kunjungan terus ke rumah-rumah penduduk tempatan.

Langkah ini diambil bagi memahami dengan lebih mendalam tentang corak kehidupan, cabaran serta keperluan hiasan rumah harian mereka.

Hasil kajian menunjukkan bahawa ruang kediaman di Kuching sangat dipengaruhi oleh nilai kekeluargaan, kebersamaan dan tradisi merai tetamu.

Ruang tamu serta ruang makan sering menjadi pusat pelbagai aktiviti keluarga, manakala isu penyusunan barang dan ruang penyimpanan tetap menjadi cabaran utama bagi pemilik rumah landed mahupun kediaman bertingkat.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkongsi rasa terujanya mengenai maklum balas positif yang diterima daripada penduduk tempatan.

“Kami mendengar suara pelanggan kami di Sarawak, dan kami sangat teruja kerana IKEA Kuching bakal bersedia untuk menyambut kedatangan mereka tidak lama lagi,” kata Malcolm Pruys.

“Hasrat kami sejak dahulu lagi adalah untuk mencipta kehidupan seharian yang lebih baik bagi ramai orang. IKEA Kuching membawa kami selangkah lagi ke hadapan untuk menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses dan relevan dengan cara hidup masyarakat di sini.”

Beliau turut menambah bahawa sentuhan tempatan menjadi teras utama dalam susun atur cawangan baharu ini kelak.

“Masyarakat di Kuching sememangnya sudah mengenali jenama IKEA, namun kami mahu mereka melangkah masuk ke dalam IKEA Kuching dan serta-merta merasai cerminan kehidupan mereka sendiri,” jelas beliau.

“Sama ada untuk menyediakan ruang berkumpul bagi keluarga besar, mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengemas barangan harian, atau mengoptimumkan ruang sedia ada, kami ingin menawarkan penyelesaian yang benar-benar berguna, mampu milik dan praktikal.”

Buka Peluang Kerjaya Buat Bakal Tenaga Kerja Lokal

Pembukaan IKEA Kuching turut membawa khabar gembira buat pencari kerja dan anak tempatan di Sarawak.

Sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang pembukaan rasmi, IKEA Malaysia bakal mula merapatkan hubungan dengan komuniti setempat bagi membina pasukan warga kerjanya di Kuching.

Fokus utama akan diberikan kepada pembangunan bakat tempatan, memberi ruang dan peluang untuk mereka berkembang bersama jenama global ini sambil bersama-sama menghidupkan pengalaman khas IKEA di bumi Sarawak.

Dengan pembukaan yang dijangka berlangsung pada Disember 2026, maklumat lanjut mengenai lokasi tepat, tarikh pelancaran serta pelbagai kejutan menarik lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Bagi warga Kuching dan kawasan sekitar, ini pastinya satu perkembangan yang amat dinantikan untuk merealisasikan rumah impian dengan lebih mudah.

Akhirnya Ke Borneo, Ini Kelainan IKEA Kuching Yang Bakal Dibuka Disember Ini
Sumber Gambar: FB IKEA

Menariknya, pihak IKEA turut telah mengadakan temuduga pada awal bulan ini secara berskala besar.

Sumber