IKEA Malaysia mengumumkan cawangan pertama di Malaysia Timur bakal dibuka pada Disember 2026.
Gedung tersebut bakal dibuka di Kuching, petik Business Today.
Gedung baharu ini mengukuhkan kehadiran sedia ada IKEA di rantau berkenaan menerusi e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan.
Langkah ini membolehkan pelanggan merasai sendiri inspirasi kelengkapan rumah, tawaran produk dan kepakaran IKEA secara fizikal pada jarak yang lebih dekat.
“Kami telah mendengar hasrat pelanggan di Sarawak dan berasa amat teruja kerana IKEA Kuching bakal bersedia untuk menyambut kedatangan mereka tidak lama lagi,” kata Malcolm Pruys, Pengarah Peruncitan Negara IKEA Malaysia.
Berbeza daripada format lazim, IKEA Kuching memperkenalkan gedung berformat kecil yang direka khusus untuk menghimpunkan pengalaman membeli-belah dalam suasana yang lebih kompak dan praktikal.
Pelanggan berpeluang meneroka susunan ruang yang penuh inspirasi, penyelesaian kelengkapan kediaman serta produk terpilih yang boleh dibawa pulang pada hari yang sama, di samping akses kepada rangkaian produk IKEA yang lebih luas untuk tempahan.
Format ini direka bagi memudahkan pelanggan beralih daripada mencari inspirasi kepada mendapatkan penyelesaian, sama ada untuk penambahbaikan kecil harian, perancangan sesebuah ruang, mahupun kelengkapan seluruh kediaman.