IKEA Malaysia telah mencipta rekod bagi snek kegemaran negara dengan jualan sebanyak 8.6 juta karipap dalam tempoh setahun, selari dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-30.

Pihak IKEA merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah singgah ke stor untuk membeli karipap mahupun perabot, terima kasih kerana merealisasikan pencapaian yang membanggakan ini.

“Bagi meraikan kejayaan tersebut, para pelanggan berpeluang untuk menikmati sebiji karipap secara percuma pada hari ini sahaja, iaitu pada 8 Mei 2026.

“Anda dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan,” kata IKEA Malaysia.

Terma dan Syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut:

1. Tawaran ini terhad kepada 500 pelanggan pertama bagi setiap cawangan.

2. Penebusan hanya sah dilakukan di dalam stor sahaja.

3. Setiap pelanggan hanya layak untuk menerima sebiji karipap.

Untuk rekod, IKEA secara rasminya menjejakkan kaki di Malaysia pada tahun 1996, dengan cawangan pertamanya dibuka di pusat beli-belah 1 Utama, Damansara.