Acara Immersio: Inspirasi Generasi by TV3 yang diadakan di Muzium Telekom sempena meraikan ulang tahun ke-40 TV3 disambut dengan meriah oleh para peminat setia TV3.
Sejak ia dibuka kepada orang ramai pada 20 Mei lalu, pameran ini sudah menarik lebih 6,000 pengunjung.
Acara pelancaran yang diadakan pada Sabtu telah dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular antaranya Erysha Emyra, Zahiril Adzim, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled, Bella Astillah, Muaz Zabir, Daniel Fong dan Meerqeen.
Buat julung kalinya TV3 membawakan Inspirasi Art Showcase yang memaparkan hasil karya tujuh orang anak seni tempatan mengubah enam bilik di Muzium Telekom menerusi projek pemetaan cahaya dan seni digital yang mengasyikkan dengan instalasi interaktif.
Antaranya adalah bilik pameran Buletin Utama, Majalah, Raudah, Drama, Wanita dan Hiburan dalam karya mereka yang menjadi simbol manifesto TV3 untuk terus kekal segar, relevan, dan berdaya saing seiring dengan peredaran masa.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, tujuan utama acara itu dianjurkan adalah untuk menceritakan perkembangan TV3 sejak 40 tahun lalu.
“Terbukti, TV3 akan terus menjadi pemacu dan pemangkin industri media, didukungi oleh kreativiti dan keinginan yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih kepada keluarga TV3 kerana komited dalam memberikan yang terbaik,” katanya kepada Berita Harian.
Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan khas oleh Aina Abdul dan Dayang Nurfaizah. Hujung minggu ini, giliran Naim Daniel (8 Jun) dan Alyph (9 Jun) pula bakal menghiburkan para pengunjung.
Penampilan khas itu adalah satu penghargaan kepada penonton setia TV3 dan pengunjung yang hadir ke program bersempena ulang tahun ke-40 TV3.
Keseronokan diteruskan apabila pengunjung turut boleh mengunjungi Inspirasi Bazaar. Inspirasi Bazaar ini adalah gabungan bazar gerai jual-jualan, busking, dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Selain itu, Inspirasi Bazaar turut mengadakan sesi busking hebat menerusi kerjasama bersama Atas Angin.
Immersio : Inspirasi Generasi dibuka kepada khalayak ramai sejak 20 Mei lalu hingga 9 Jun ini dan jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada sambutan penuh meriah ini!