Saya kongsikan 3 cara saya kuruskan badan ini berdasarkan pengalaman saya yang dah turunkan 40kg dalam masa 4 bulan, daripada baju saiz XXL kepada saiz S, daripada seluar saiz 42 kepada saiz 30.

Semoga apa yang saya kongsikan ini boleh anda amalkan, terutamanya kepada rakan-rakan yang mengalami masalah berat badan berlebihan sejak kecil lagi.

kurus-40kg-1

Gambar sewaktu raya 2015. Dengan berat 120kg ketika itu. Itulah saiz paling besar dalam hidup saya.

Kali terakhir berat badan saya mencecah 2 angka adalah ketika saya dalam Darjah 5. Masih saya ingat, berat ketika itu 98kg. Nak timbang depan kawan-kawan untuk diisi dalam report kad sekolah pun malu.

Masuk tingkatan 1, berat saya sudah mencecah 109kg. Saya tak mahu suatu hari nanti keluarga saya bersedih kerana saya jatuh sakit atau meninggal dek kerana masalah kegemukan yang telah bersarang dalam tubuh badan ini sekian lamanya.

Melihatkan gambar di atas, saya membuat keputusan untuk berubah sebelum berat badan saya menjadi lebih parah. Berikut formula saya untuk turunkan berat badan.

1. Gol

Formula pertama ini anda wajib ada. Membuat sesuatu tanpa arah tujuan semestinya akan buat anda tersasar ke lautan Hindi.

Tetapkan 1 gol dan matlamat untuk turunkan berat badan anda. Hendak kahwin, nak sihat, nak pakai baju saiz S, nak turunkan 40kg sebelum tahun 2016 misalnya. Pastikan target anda jelas, achievable dan logik untuk direalisasikan.

Setkan durasi masa yang sesuai untuk anda capai ke target berat yang anda inginkan. Adakah sebulan? 3 bulan? 6 bulan? Setahun?
Pastikan gol anda ada unsur urgency / keperluan kenapa anda harus capai berat badan tersebut dalam durasi masa yang telah ditetapkan.

Contohnya seperti saya, target saya hendak turunkan 20kg menjelang awal tahun baru 2016. Masih berbaki lagi 4 bulan untuk capai target yang saya inginkan.

Apakah urgency yang telah saya buat? Saya cabar diri saya untuk mendaki di Banjaran Himalaya, Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal.

Tiket penerbangan telah dibeli. Jadi saya tak boleh batalkan ekspedisi ini. Kalau saya gemuk, harapan untuk sampai ke ABC pasti akan gagal.

Jadi saya mesti fit supaya saya dapat jalankan misi ini dengan jayanya. Bermula dengan berat 115kg pada 1 September 2015, misi fit dan kurus saya bermula.

Tak dinafikan, misi ke Annapurna Base Camp menjadi turning point untuk saya kurus. Kalau saya tidak membuat keputusan untuk mendaki ke sana, barangkali saya masih kekal pada saiz yang sama hingga sekarang.

Maka, carilah turning point yang boleh buat anda kurus!

Jika anda sudah ada punyai target dan matlamat, stay focus! Kuatkan semangat dan pastikan anda capai matlamat anda walau apa jua cabaran yang datang.

Kepada yang sudah capai matlamat yang anda inginkan, cipta target yang baru. Sebab apa? Supaya berat ideal anda dapat diseimbangkan.

Ada sesetengah orang, sudah berjaya kurus bermakna sudah berada di zon selesa. Mulalah tak jaga makan, tak bersenam dan akhirnya berat badan naik semula.

Itulah silapnya. Kita dah terlalu selesa dan berpuas hati dengan berat badan yang telah kita capai sampai kita jadi malas.

Target baharu saya sekarang adalah menyertai larian half-marathon 21KM. Maka saya harus bersiap sedia sebelum acara larian yang akan berlangsung penghujung April 2016 ini. Wish me luck!

kurus-40kg-2

2. Diet

Ini merupakan formula terpenting dalam menentukan kelancaran proses penurunan berat badan anda. 70% faktor penurunan berat badan adalah datangnya daripada pola pemakanan anda.

30% datangnya daripada senaman. Tidak perlu rasanya saya kongsikan menu pemakanan untuk kurus. Terlalu banyak menu kurus dan tips pemakanan secara sihat di internet yang boleh anda amalkan.

Berilah 1001 tips kurus 10kg sebulan sekalipun. Kalau diri sendiri tiada semangat untuk mengubah pola pemakanan yang sihat, lemak-lemak dalam badan tersebut takkan hilang sekelip mata, setuju?

Kalori diet dan Atkins diet adalah antara 2 diet paling popular yang boleh anda amalkan. Pilihlah mengikut kesesuaian tubuh badan anda.

Berdasarkan pengalaman saya, saya lebih suka mengamalkan diet Atkins kerana kaedah pemakanan yang disarankan melalui diet Atkins menepati dengan gaya pemakanan saya yang lebih suka makan lauk-pauk berbanding nasi.

Perlu diingat, dalam Atkins bukan selamanya anda tak dibenarkan makan nasi. Hanya fasa 1 & 2 atau bila anda sudah selesa dengan berat badan anda, anda boleh tambah sedikit demi sedikit mengikut keperluan.

Apa sahaja diet sihat yang anda amalkan tidak kira diet Kalori, Atkins mahupun Paleo, kunci utamanya adalah EAT MODERATELY dalam satu-satu masa. Lengkapkan dahulu ilmu diet yang anda sedang amalkan. Jangan berdiet semberono mengikut rakan hingga memudaratkan kesihatan. Bila jatuh sakit, salahkah diet pula.

Tak perlu pil kurus, jus kurus mahupun program pelangsingan yang terlalu mahal. Anda hanya perlu percaya dengan kemampuan anda dan anda pasti berjaya.

Baca: 12 Idea Serta Resipi Nasi Berlauk Bagi Yang Sedang Diet Dan Ingin Kurus

3. Senaman

Formula ketiga ini adalah pelengkap kepada kejayaan penurunan berat badan anda. Diet dan senaman haruslah seiring. Kurus tetapi tak fit juga tak bagus.

Maka anda harus bersenam supaya berat badan anda maintain dan tidak naik mendadak. Pelbagai jenis senaman yang boleh anda lakukan untuk menurunkan berat badan. Semuanya ada di hujung jari anda. Gunakan kemudahan internet dengan sebaiknya.

Kebanyakan aktiviti senaman yang saya lakukan adalah senaman outdoor. Jarang sekali saya masuk ke gym. Antara aktiviti senaman kesukaan saya adalah hiking.

Jika anda gabungkan pemakanan yang sihat bersama aktiviti hiking, saya berani jamin berat badan anda akan turun sangat banyak!

Ini kerana, seluruh kudrat anda digunakan untuk mendaki gunung sehingga ke puncak. Maka peluh akan keluar sangat banyak. Selain itu, hiking melatih otot bahagian betis dan peha.

Penat memang tidak dinafikan. Tetapi kepuasan apabila sudah sampai ke puncak itu tidak terbanding dan pada masa yang sama, anda dapat menikmati pemandangan yang indah sepanjang hiking.

kurus-40kg-3

Memulakan misi kurus dengan aktiviti hiking. Setelah 25 tahun hidup di bumi Melaka, barulah saya tahu Bukit Beruang ini boleh didaki! Maka ia menjadi medan pertempuran antara saya dan lemak-lemak degil hinggalah sekarang. Misi saya masih belum berakhir. Jika anda terserempak saya sedang berlari sepanjang trail Bukit Beruang ini, jangan lupa say hi!

Target saya untuk hilangkan 20kg dalam masa 4 bulan sebenarnya tersasar. Bulan pertama saya turun 13kg, diikuti 10kg bulan kedua, 9kg bulan ketiga dan 8 kg menjelang 23 Disember 2015.

kurus-40kg-4

Setakat ini, belum pernah lagi saya lihat pendaki obes yang tak kurus-kurus. Bulan pertama saya berdiet dan berhiking, saya turun 13kg.

Terima kasih kepada rakan merangkap coach tak rasmi saya (hehehe!), Mohd Hazaruddin Muhammad yang rajin bersenam bersama saya semasa awalan rutin proses penurunan berat badan.

Mungkin saya masih terkapai-kapai sampai sekarang kalau tiada orang yang boleh guide saya untuk kurus.

Anda juga perlukan rakan untuk bersenam bersama supaya matlamat anda kekal di jalan yang lurus! Bersenam seorang diri kadang-kala boleh menjatuhkan semangat terutamanya bila kepenatan. Jadi, carilah rakan untuk kurus bersama!

kurus-40kg-5

Bersama rakan-rakan bersenam. Uddin & Ezzy

Saya ada seorang lagi rakan yang mengalami masalah berat badan seperti saya. Beliau turut serta berusaha turunkan berat badan.

Beliau tidak mengamalkan Atkins seperti saya, tetapi hanya mengamalkan pemakanan seimbang dan pada masa yang sama aktif berhiking bersama saya. Alhamdulillah beliau berjaya turunkan 25kg dalam masa 4 bulan. Awesome kan?

kurus-40kg-6
Ini Faisal Ali. Anda nampak perbezannya?

kurus-40kg-7

Aktiviti hiking sangat menyeronokkan. Di samping anda menikmati pemandangan menghijau sepanjang perjalanan pendakian, anda juga tak perlu membayar sesen pun yuran keahlian gym yang mahal kerana ia adalah outdoor activity.

Untuk yang baru nak mencuba aktiviti hiking ini, dinasihatkan dakilah perlahan-lahan. Go slow and steady.

Jangan terlalu memaksa diri dan tahu limit tubuh badan anda. Jika tak mampu untuk mendaki gunung, dakilah bukit. Jika bukit tak mampu didaki, mulakanlah dengan tangga.

Senaman lain yang saya buat adalah HIIT workout melalui apps yang boleh saya muat turun di smartphone iaitu Freelectics.

Oleh kerana kekangan masa, saya akan pastikan untuk bersenam sekurang-kuranya 2-3 kali seminggu. Jadikan senaman itu sebagai satu gaya hidup, bukan sekadar senaman menguruskan badan.

Saya kadang-kala sampai tak senang duduk kalau sudah 3 hari tak bersenam. Mesti nak buat!

kurus-40kg-8

Gabungan ketiga-tiga inilah yang menjadi formula utama setiap individu yang telah berjaya kurus. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan. Saya ucapkan semoga berjaya kepada anda yang sedang berusaha untuk kurus.

Kepada anda yang mengalami masalah obesiti, saya cadangkan amalkan formula ini kerana Aidilfitri bakal menjelang 3 bulan lagi dari sekarang.

Jadikanlah perayaan tahun ini sebuah perayaan yang special untuk anda. Berikan kejutan transformasi kepada orang-orang sekeliling anda.

Tahukah anda, jika anda seorang yang obes proses penurunan berat badan anda lebih cepat berbanding individu yang mempunyai lebihan berat badan yang sederhana? Apa yang anda perlu buat sekarang adalah bertindak.

Tiada trick mahupun shortcut untuk mencapai berat badan yang anda idamkan secara sihat. Semuanya melalui satu proses yang sama.

Lebih banyak usaha anda, lebih cepat anda sampai kepada sasaran yang diinginkan. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha. Yakinlah dengan kemampuan diri anda. Semoga dipertemukan kejayaan dalam segala usaha yang anda telah lakukan. Selamat maju jaya.

Baca lagi:  7 Cara Bagaimana Saya Tangani Halangan Mental Semasa Diet Hingga Hilang 40Kg