Seni pembungkusan sememangnya direka untuk memikat mata yang memandang. Namun, apabila luaran tidak mencerminkan isi sebenar, ia boleh memusnahkan kepercayaan pembeli dalam sekelip mata.

Kisah tular membabitkan sebalang tart nenas yang mempamerkan kuantiti ‘penuh’ dari luar tetapi realitinya jauh berbeza, mengundang rasa simpati netizen dan membangkitkan persoalan penting mengenai ketelusan urus niaga.

Bermula dari sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pelanggan yang meluahkan kekecewaan selepas mendapati kuih raya tart nenas yang tampak penuh di dalam bekasnya itu akhirnya terbongkar kuantiti sebenar apabila dibuka.

Pada awalnya, difahamkan anaknya membeli kuih raya tersebut untuk sambutan raya pada tahun ini memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk membuat kuih sendiri seperti tahun-tahun sebelum ini.

Berdasarkan visual yang dirakam, susunan padat yang dilihat dari luar rupa-rupanya hanyalah ‘kosmetik’ semata-mata. Sebaik sahaja balang dibuka, pembeli mendapati ruang tengahnya dikosongkan dan diganti dengan gulungan kertas pastri.

Tart nenas pula hanya disusun secara melingkar di bahagian tepi balang, memberikan ilusi visual seolah-olah bekas tersebut diisi penuh.

Lebih mengecewakan harga yang dibayar berjumlah RM45 itu menjadikan ia tidak berbaloi dengan jumlah kuantiti yang diterimanya.

“Dari luar nampak penuh tapi bila buka dalam balang menghampakan, harga kayangan,” tulisan teks pada videonya.

@zaliha.liha43

♬ original sound – Zaliha Liha – Zaliha Liha

Oleh itu, luahan kekecewaan wanita terbabit telah meraih simpati orang ramai susulan dipercayai telah tertipu dengan helah ilusi susunan kuih yang menampakkan seperti penuh di mata kasar apatah lagi jumlah kuantiti sebenar juga tidak dilabel untuk mengesahkan kuantiti yang sepatutnya ada.

Dalam pada itu, seorang individu menasihati para penjual untuk berlaku jujur dengan menerangkan secara terperinci tentang pembungkusan sedemikian agar tidak timbul isu ketidak puasan hati di kemudian hari kelak.

Sementara itu, penjual kuih raya yang sebenar langsung tampil memberi respon dalam menerangkan perkara sebenar tentang barangan jualannya itu.

“Assalamualaikum. Saya anak kepada owner tart nanas ini. Kami jual biskut ini RM28 sebalang sahaja. Owner tt ini beli dari reseller. Sebab yang ini saya nampak tiada sticker kami. Kalau reseller, biasanya mereka akan naikkan harga. Lagipun susunan dalam balang ini memang seperti ini, dan memang ada 50 biji tart dalamnya,” tegasnya.