Menjadi kebiasaan buat para penumpang pesawat untuk mendapatkan ruang bagasi tambahan jika membawa banyak barangan. Harga bagasi berdaftar ini pula hadir berbeza bergantung pada berat muatan yang dibawa.
Namun, seorang individu bernama Kelvin Liew berkongsi di laman media sosialnya berhubung kekeliruan yang melanda mengenai harga bagasi yang berbeza-beza ketika cuba membeli tiket penerbangan daripada sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Baca Juga:
- Gara-Gara Masalah Operasi AirAsia, Pasangan Tempatan Ini Tersadai Di Australia Sehingga 5 Hari
- 57 Jam Terkandas Di Mumbai, Penumpang Kongsikan Pengalaman ‘Mimpi Ngeri’ Layanan MAS
Seperti yang diperincikan dalam hantaran Facebook itu, beliau membuat pembelian tiket penerbangan dari Johor ke Kuching bertarikh 26 Januari 2024 untuk ibu mertuanya.
Penerbangan yang dijadualkan telah ditetapkan pada 5.40 petang dengan tiket berharga RM209.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan adalah apabila mahu membeli ruang bagasi untuk ibu mertuanya. Walaupun pilihan mempunyai jumlah berat yang sama iaitu 20KG, terdapat tiga kategori harga bagasi yang berbeza.
Kebingungan ini semakin bertambah apabila didedahkan bahawa berlaku pencanggahan harga penawaran pada jenis peranti yang digunakan untuk pembelian tiket.
Lebih spesifik lagi, untuk iPhone, bayaran bagasi yang dikenakan berjumlah RM79.86, sementara untuk Honor X9 pula berharga RM55 manakala platform komputer pula memperlihatkan harga RM63.25 untuk bagasi muatan 20KG.
Sementara di ruangan komen pula, warganet turut terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh individu tersebut berhubung pencanggahan harga bagasi yang berlaku pada tempahan tiket itu.
Bahkan, ada pengguna yang turut mendedahkan harga yang lebih mahal dikenakan apabila menggunakan peranti Samsung. Anda rasa sebab apa percanggahan harga bagasi ini boleh berlaku?