Jemaah Malaysia sememangnya disegani di mata warga tempatan di negara Arab. Hal ini kerana sikap rakyat Malaysia yang sentiasa bersopan santun serta mematuhi undang-undang sekaligus membuatkan mereka merasa lebih selesa dengan kita.

Baru-baru ini, seorang pengguna Thread bernama Syarah Hani berkongsi satu kisah menarik bagaimana si penjual aiskrim di tanah Arab terkejut melihat sikap jemaah haji Malaysia berbanding dengan yang lain.

Pada mulanya, dia bersama pasangannya sahaja berjalan-jalan di sekitar kawasan Mina dan mengambil keputusan untuk membeli aiskrim.

Jadi, dia pun beratur bersama ahli jemaah lain yang kebetulan mahu mencuba aiskrim di situ dan alangkah terkejut melihat reaksi pekerja kedai yang jarang melihat fenomena tersebut.

jemaah haji
Sumber Gambar: Threads

“Ya Allah, Ya Allah” itulah teriakan yang kedengaran dari mulut mereka selepas melihat jemaah haji Malaysia yang sedia beratur dengan tertib tanpa perlu disuruh.

Sumber Gambar: Threads
Sumber Gambar: Threads

Sewaktu menunggu pesanan aiskrim disiapkan, salah seorang pekerja tempatan sempat memberikan popcorn untuk dinikmati oleh pelanggan yang dalam barisan yang mana semuanya adalah dari kalangan jemaah Malaysia.

Mereka siap memberikan secara percuma tanpa mengenakan bayaran mungkin dek kerana teruja melihat budi bahasa yang ditonjolkan oleh rakyat kita. Boleh lihat kegembiraan pada wajah mereka dan ada yang melambai-lambai tangan kepada jemaah yang beratur itu di dalam video yang dikongsikan.

Menjengah ke ruangan komentar, ramai meluahkan rasa bangga dan mengakui rakyat Malaysia sememangnya disenangi oleh warga tempatan di sana sehinggakan sebut nama Malaysia sahaja langsung berseri wajah serta mengalu-alukan kedatangan.

Ada yang mempersoal adakah selama ini orang ramai berebut untuk membeli barangan atau aiskrim dan yang sudah pernah ke sana mendakwa ia memang benar-benar terjadi. Difahamkan majoriti jemaah lain akan berebut dan memotong barisan tanpa menghiraukan orang lain.

Diharapkan jemaah Malaysia akan kekal berdisplin demi menjaga nama baik negara apatah lagi apabila kita sudah mendapat beberapa keistimewaan dari kerajaan Arab Saudi kerana menjadi jemaah terbaik di dunia setakat ini.