Thakher Development, pemaju induk projek Thakher Makkah, menyerahkan sijil pemilikan hartanah kepada dana kekayaan berdaulat Indonesia, Danantara Indonesia.

Penyerahan ini sekali gus menjadikan Indonesia antara negara asing strategik terawal yang memiliki hartanah secara rasmi di Makkah.

Penyerahan geran pemilikan tersebut melengkapkan pengambilalihan bernilai SAR2 bilion (~RM2.36 bilion) oleh Danantara, yang merangkumi menara hotel Novotel Thakher Makkah serta 14 plot tanah pembangunan bersebelahan di kawasan berkenaan.

Transaksi ini direalisasikan menerusi kedudukan Thakher Makkah sebagai destinasi bersepadu yang terletak 1.2 kilometer di utara Masjidil Haram.

Merangkumi keluasan 320,000 meter persegi dengan nilai pelaburan keseluruhan melebihi SAR 26 bilion, Thakher Makkah menawarkan tanah sedia pelaburan bagi sektor perhotelan, komersial, serta aset hotel yang sedia beroperasi.

Kompleks berkenaan kini menyediakan sekitar 2,700 bilik hotel dan pangsapuri servis.

Pencapaian ini menandakan langkah penting Arab Saudi dalam membuka pintu bandar suci Makkah kepada pelaburan antarabangsa jangka panjang di bawah Undang-Undang Pemilikan Hartanah oleh Bukan Warganegara Saudi yang mula berkuat kuasa pada Januari 2026.

Langkah ini turut menyokong sasaran Visi 2030 bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti perkhidmatan untuk jemaah haji dan umrah.

“Ini merupakan detik bersejarah bagi Thakher Makkah. Menyambut kedatangan negara asing pertama yang memiliki hartanah di destinasi kami mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap Thakher Makkah dan pembukaan Makkah oleh Kerajaan Arab Saudi kepada rakan kongsi jangka panjang yang komited berkhidmat kepada tetamu Allah,” kata Faisal Shaker, Ketua Pegawai Eksekutif Thakher Development.

Beliau menambah bahawa transaksi berkenaan berjaya diselesaikan dari peringkat pementeraian perjanjian hingga pemindahan hak milik rasmi dalam tempoh sepuluh bulan. Menurutnya, fokus utama kini adalah memastikan aspirasi pelaburan Danantara seiring dengan strategi pembangunan Thakher Makkah bagi membolehkan lebih ramai jemaah Indonesia menginap berhampiran Masjidil Haram.

Bagi Indonesia, pemilikan hartanah ini menggantikan amalan menyewa penginapan secara musiman yang dijalankan sejak puluhan tahun lalu. Indonesia merupakan negara dengan kuota haji terbesar di dunia, iaitu sebanyak 203,320 jemaah bagi saluran biasa pada tahun 2026, di samping sekitar 1.5 juta rakyatnya yang menunaikan ibadah umrah setiap tahun. Hotel Novotel berkenaan berupaya menampung kira-kira 4,400 jemaah bagi setiap musim haji.

Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Indonesia, Rosan Roeslani, menyatakan bahawa langkah ini merupakan komitmen konkrit dalam membina platform pelaburan perhotelan jangka panjang di Arab Saudi.

“Fokus kami adalah untuk menguruskan aset ini dengan disiplin pelaburan yang ketat sambil membangunkan ekosistem bersepadu yang meningkatkan kualiti penginapan dan perkhidmatan bagi jemaah dari Indonesia serta seluruh dunia. Secara lebih luas, ini menandakan permulaan perkongsian ekonomi yang lebih kukuh antara Indonesia dan Arab Saudi,” kata Rosan.

Hotel Novotel Thakher Makkah merangkumi tiga menara setinggi 19 tingkat dengan 1,461 bilik dan suite di atas kawasan seluas 33,903 meter persegi, menjadikannya Novotel terbesar di dunia dari segi bilangan bilik. Syarikat perhotelan Accor akan terus mengendalikan operasi hotel berkenaan di bawah perjanjian pengurusan sedia ada.

Sebagai perancangan masa depan, Danantara berhasrat membangunkan 14 plot tanah tambahan seluas 44,088 meter persegi di Thakher Makkah menjadi rangkaian hotel baharu dengan keupayaan sekitar 6,000 bilik serta pusat beli-belah yang menempatkan lebih 90 premis perniagaan. Pembangunan Fasa 2 ini melibatkan peruntukan pelaburan tambahan melebihi SAR 2 bilion.