Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat Isnin.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago, menyatakan bahawa pihak kerajaan setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung isu gangguan asap dari kebakaran tersebut yang menjejaskan negara lain, petik Harian Metro.

Menurut beliau, semua petugas di lapangan bahawa usaha ini bukan sahaja bertujuan memadamkan kebakaran serta melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, malah merupakan satu tanggungjawab nasional yang wajib dipikul bersama.

Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media pada Isnin yang disiarkan menerusi saluran YouTube media tempatan bagi menjawab pertanyaan mengenai kebarangkalian jerebu rentas sempadan menjejaskan Malaysia dan Singapura, serta status perhubungan rasmi antara pihak Indonesia dengan kedua-dua negara berkenaan berhubung isu ini.

Menurut Djamari, sebanyak 43 buah helikopter telah dikerahkan bagi operasi pemadaman dari udara, disokong oleh 10 hingga 15 buah pesawat sayap tetap mengikut keperluan operasi, di samping menggerakkan anggota dan peralatan secara berskala besar di darat.

Beliau turut menjelaskan bahawa operasi pembenihan awan kekal sebagai antara langkah paling berkesan dalam menangani kebakaran tersebut. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya amat bergantung pada kewujudan awan yang berpotensi membawa hujan, yang dijangka terbentuk dalam tempoh tiga hingga empat hari sehingga 18 Ogos.

Enam wilayah utama kini diletakkan di bawah pemantauan rapi sebagai zon paling kritikal, iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, dan Kalimantan Selatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengeluarkan peringatan bahawa fenomena El Nino yang kuat berupaya merebakkan kebakaran hutan dan tanah dengan lebih pantas, dengan keadaan cuaca kering tersebut dijangka berterusan sehingga September atau awal Oktober.

Sumber