Indonesia bakal memasang dua loji kuasa nuklear terapung di perairan negara itu, bertempat di Maluku Utara, dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi kerjasamanya dengan konglomerat tenaga milik kerajaan Rusia, Rosatom State Corporation (Rosatom).
Projek berdekatan wilayah timur Indonesia itu terletak kira-kira 3,000 kilometer dari Kuala Lumpur dan 1,400 kilometer dari Kota Kinabalu, petik The Star.
Perjanjian bersejarah berkenaan ditandatangani antara Rosatom dan syarikat milik kerajaan Indonesia, PT Pembangkit Listrik Nuklir, semasa penganjuran Russian Energy Week di Moscow pada 16 Oktober lalu.
Kerjasama ini membolehkan Rusia mengeksport kepakaran teknologi nuklear awamnya buat julung kali bagi pembekalan tenaga elektrik menerusi unit kuasa terapung.
Dalam satu kenyataan pada 19 Oktober, Rosatom memaklumkan bahawa syarikat itu akan menempatkan dua unit kuasa terapung model FPU-100 yang mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 200 megawatt (MW) bagi membekalkan tenaga elektrik ke bahagian utara Pulau Halmahera.
“Unit-unit ini akan menyediakan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan rendah karbon menggunakan sistem reaktor siri RITM. Sistem ini telah membuktikan kecekapan, kebolehpercayaan, serta tahap keselamatannya sepanjang bertahun-tahun beroperasi di atas kapal pemecah ais berkuasa nuklear,” jelas kenyataan tersebut.
Rosatom turut menambah, “Unit Kuasa Terapung (FPU) berkenaan dijangka mula membekalkan megawatt elektrik pertama kepada pengguna di Indonesia seawal lima tahun selepas syarat-syarat utama kontrak bekalan elektrik mula dikuatkuasakan.”
Pengarah General Rosatom, Alexey Likhachev, menyifatkan perjanjian eksport bekalan elektrik daripada unit kuasa terapung itu sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.
“Rosatom sentiasa bersedia untuk menawarkan penyelesaian teknologi paling maju dan terbukti yang terdapat di pasaran global,” kata Alexey Likhachev.
Langkah Indonesia ini sejajar dengan tindakan penambahan tenaga nuklear ke dalam Pelan Tenaga Negara pada tahun 2025, yang diiktiraf sebagai instrumen penting bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang serta mencapai sasaran keneutralan karbon menjelang 2060.
Sementara itu, Malaysia turut menghidupkan semula penerokaan tenaga nuklearnya dengan memulakan semula Fasa 1 Pendekatan Penanda Aras Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi menilai kebolehlaksanaan penambahan tenaga nuklear ke dalam grid nasional.
Langkah Malaysia dalam bidang ini menyaksikan lipatan sejarah yang tersendiri. Pembangunan nuklear pernah dirancang secara konkrit di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menerusi Program Transformasi Ekonomi, sebelum Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) dibubarkan susulan pertukaran kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum PRU-14 Mei 2018.
Walau bagaimanapun, realiti geopolitik semasa mendorong kerajaan menilai semula keperluan tenaga nuklear. Pada November 2024, tugas untuk merangka hala tuju tenaga nuklear negara telah diamanahkan kepada Perbadanan Office for Power Electricity Reform (MyPOWER), sebuah agensi khas di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Rosatom, kini terdapat kira-kira 80 projek reaktor modular kecil (SMR) yang berada di peringkat reka bentuk di seluruh dunia.