Indonesia mula mengurangkan bekalan gas asli ke Singapura mulai 24 Oktober, namun jumlah pengurangan itu dijangka memberi kesan kecil kepada bekalan tenaga republik berkenaan.
Menurut Energy Market Authority (EMA) Singapura pada 24 Oktober, pengurangan bekalan tersebut hanya melibatkan kurang daripada 2% daripada jumlah permintaan gas harian negara itu.

Sebelum ini, Ketua Pengawal Selia Hulu Minyak dan Gas Indonesia, SKK Migas, Djoko Siswanto, dilaporkan berkata Indonesia akan mengurangkan eksport gas ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) mulai 24 Oktober.
Namun, EMA menjelaskan berdasarkan maklumat daripada pengimport gas asli Singapura, jumlah pengurangan sebenar adalah 17 BBTUD untuk tempoh 18 hari.
Sebagai perbandingan, Singapura menggunakan lebih 1,000 BBTUD gas setiap hari.
“EMA memahami bahawa pengimport kami akan mengambil semua tindakan yang berkaitan seperti yang diperuntukkan dalam kontrak bagi gangguan bekalan gas tersebut,” kata jurucakap EMA.
EMA turut menegaskan bahawa Singapura mempunyai pelan kontingensi bagi menghadapi pengurangan bekalan seperti ini.
Bukan kali pertama Singapura hadapi gangguan bekalan

Menurut EMA, Singapura sebenarnya sudah berdepan beberapa pengurangan bekalan gas dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan jumlah antara 20 hingga 100 BBTUD akibat kerja penyelenggaraan yang dirancang atau kecemasan.
Namun, kekurangan tersebut berjaya digantikan dengan sumber gas lain tanpa sebarang masalah besar.
“Singapura mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi keperluan negara,” jelas EMA lapor The Straits Times.
Ini penting kerana kira-kira 95% keperluan elektrik Singapura bergantung kepada gas asli. Bekalan tersebut datang melalui saluran paip dari Malaysia dan Indonesia, selain gas asli cecair (LNG) yang diimport dari pelbagai negara.
Singapura juga sedang mempercepatkan usaha mempelbagaikan sumber tenaganya, termasuk memperluaskan penggunaan panel solar serta menjalankan kajian terhadap teknologi seperti tenaga nuklear dan geoterma.
Boleh tukar kepada LNG jika perlu
Singapore GasCo, pembeli dan pembekal utama gas asli republik itu, turut dilaporkan bersedia untuk mendapatkan lebih banyak gas sekiranya diperlukan.
“Selain Indonesia, Singapura mengimport gas asli dari pelbagai sumber di seluruh dunia,” kata EMA.
Syarikat penjana tenaga di Singapura juga diwajibkan mengekalkan simpanan bahan api yang mencukupi, termasuk diesel, sebagai persediaan untuk menjana elektrik ketika berlaku gangguan bekalan gas.
Salah satu pembekal gas terbesar Singapura, Gas Supply, mengakui penghantaran gas kepada beberapa pelanggan di negara itu terjejas akibat “pengurangan sementara” bekalan daripada pembekalnya di Indonesia.
Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Temasek itu berkata pihaknya sedang berhubung secara langsung dengan pelanggan yang terkesan dan terus bekerjasama dengan pembekal huluannya untuk menguruskan keadaan tersebut.
Kenapa Indonesia kurangkan bekalan?
Pengurangan ini berlaku selepas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, pada 22 Oktober memberi amaran bahawa Indonesia boleh menyemak semula eksport tenaga kepada negara yang gagal menunjukkan rasa hormat secara timbal balik.
Laporan media Indonesia menyebut pengurangan tersebut hanya memberi kesan kepada Singapura kerana saluran paip dari Natuna dan Sumatera disambungkan terus ke republik itu.
Bekalan dari Natuna dikurangkan sebanyak 15 BBTUD, manakala 16 BBTUD lagi melibatkan medan gas Jambi Merang di Sumatera.
Langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan Presiden Prabowo Subianto untuk mengutamakan keperluan tenaga domestik ketika kebimbangan terhadap keselamatan tenaga semakin meningkat.
Indonesia sebenarnya sudah merancang untuk mengurangkan eksport gas ke Singapura sejak beberapa tahun lalu bagi memenuhi permintaan dalam negara yang semakin meningkat.
Pada 2022, Jakarta bersetuju melanjutkan bekalan gas ke Singapura sehingga 2028, tetapi pada jumlah yang lebih rendah berbanding kontrak sebelumnya.
Kesan kepada pengguna Singapura dijangka minimum

Penganalisis tenaga berpandangan pengurangan bekalan ini tidak dijangka memberi kesan besar kepada kos tenaga di Singapura.
Subodh Mhaisalkar, Ketua Pegawai Eksekutif Solar Energy Research Institute of Singapore, berkata infrastruktur LNG Singapura menjadi “pelindung” penting kerana negara itu boleh mendapatkan gas daripada pelbagai pembekal antarabangsa.
Namun, menggantikan gas paip dengan LNG boleh meningkatkan kos pembelian dan mendedahkan Singapura kepada turun naik harga gas dunia.
David Broadstock, ahli ekonomi yang memantau sektor tenaga, pula menyifatkan pengurangan secara mengejut itu sebagai perkembangan yang agak luar biasa bagi rantaian bekalan tenaga Singapura.
Beliau turut menyorot masa pengurangan tersebut yang berlaku menjelang Singapore International Energy Week pada 26 Oktober serta ketika hubungan kedua-dua negara menjadi lebih kompleks susulan isu penguatkuasaan pencemaran jerebu rentas sempadan.
“Persoalannya ialah sama ada terdapat unsur politik di sebalik tindakan ini, berkemungkinan sebagai reaksi terhadap isu jerebu,” katanya.
Bagaimanapun, Broadstock menegaskan faktor tersebut belum boleh dianggap sebagai punca utama dan tidak menjangkakan lonjakan harga yang besar.
Bagi Singapura, episod ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya mempunyai sumber tenaga yang pelbagai.
Dengan LNG kini menyumbang kira-kira 60% daripada keseluruhan bekalan gas Singapura, republik itu mempunyai pilihan untuk mengurangkan kebergantungan kepada gas yang dihantar melalui saluran paip.
Dalam masa sama, pengurangan bekalan dari Indonesia turut menguatkan alasan untuk Singapura mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Singapura sebelum ini berjaya mencapai sasaran pemasangan solar sebanyak 2 gigawatt-peak (GWp) lebih awal daripada jadual dan kini menyasarkan kapasiti 3 GWp.
Sasaran baharu itu dijangka mampu memenuhi kira-kira 4% daripada keseluruhan permintaan elektrik Singapura menjelang 2030.