Pasukan Indonesia melepaskan peluang keemasan untuk meraih kemenangan pertama dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 selepas diikat Bahrain dengan keputusan 2-2.
Skuad Garuda turun dengan motivasi tinggi dimana mereka mahu meneruskan rentak positif selain mahu membalas dendam atas kekalahan 10-0 yang dialami pada 2014 lalu.
Baca Juga:
- Pemain Indonesia Tersenarai Dalam Top 10 Pertahanan Paling Bernilai
- Justin Hubner Anggap Malaysia Tidak Setaraf Dengan Indonesia
- Netizen Pelik Lihat Media Indonesia Selalu Buat Perbandingan Dengan Malaysia
Pasukan Bahrain terlebih dahulu membuka tirai jaringa menerusi sepakan percuma dari jarak jauh yang berjaya disempurnakan oleh Mohamed Marhoon pada minit ke-15.
Selepas dibolosi gol pembukaan, Garuda seakan buntu untuk melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan dimana Bahrain lebih banyak menguasai permainan dan mempunyai peluang untuk menambah jaringan.
Menuju ke rehat separuh masa pertama, Ragnar Oratmangoen berjaya menjaringkan gol penyamaan dimana beliau menolak masuk bola hasil hantaran dari sebelah kanan sekaligus kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada rehat separuh masa.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dimana tidak banyak peluang yang dicipta.
Penyerang skuad Garuda, Rafael Struick kemudiannya menghidupkan semula permainan dimana beliau menjaringkan gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-74.
Pemain berusia 21 tahun itu tidak dikawal dalam kawasan penalti dan rembatan beliau berjaya menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah, Ebrahim Lutfalla.
Bahrain yang sebelumnya banyak memperlahankan permainan serta-merta mengubah pendekatan mereka dengan terus melancarkan serangan ke kubu Indonesia.
Meskipun diserang bertubi-tubi, kubu pertahanan Indonesia yang diketuai Jay Idzes dan penjaga gol, Marteen Paes berjaya menyerap segala asakan yang dihadapi.
Bahrain memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan namun sepakan percuma yang diambil oleh Marhoon dari jarak dekat tidak menepati sasaran.
Ketika Indonesia sedang berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata, Marhoon hadir untuk merosakkan angan-angan itu apabila menjaringkan gol pada masa tambahan sekaligus kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Ini merupakan keputusan seri kali ketiga bagi pasukan negara jiran itu dalam kempen kelayakan kali ini selepas mencatat keputusan sama ketika berdepan Arab Saudi dan Australia.
Selepas ini, Indonesia akan berdepan pasukan China manakala Bahrain akan turun berdepan Arab Saudi.