Industri automotif di Indonesia kini sedang menghadapi cabaran besar, dan situasi ini mungkin berlanjutan hingga tahun depan.
Dalam usaha mencari jalan keluar, penggiat industri automotif di Indonesia menggesa kerajaan mereka belajar daripada kejayaan Malaysia dalam merangsang pasaran kereta melalui insentif cukai.
Menurut laporan Detik, Kukuh Kumara, Setiausaha Umum Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo) berkata Malaysia telah menunjukkan bagaimana insentif cukai dapat memberi kesan besar pada jualan kereta domestik.
Dengan pemberian diskaun 100% untuk kereta keluaran tempatan dan 50% untuk model import semasa pandemik COVID-19, Malaysia berjaya melonjakkan jualan kereta hingga ke tahap tertinggi dalam sejarah.
“Insentif itu masih diteruskan hingga kini. Hasilnya, pasaran automotif mereka hampir mencapai angka 800,000 unit setahun. Ini sangat mengejutkan,” kata Kukuh dalam satu forum di Jakarta.
Sementara Malaysia terus maju, pasaran kereta Indonesia dilaporkan berada dalam keadaan menurun.
Dengan sasaran jualan tahunan yang dikurangkan kepada 850,000 unit, Kukuh bimbang Malaysia bakal mendahului Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar di ASEAN.
“Thailand juga mengalami penurunan. Tapi Malaysia, dengan kebijakan insentif cukainya, kini menjadi pemacu utama di rantau ini. Jika kita tidak bertindak segera, Indonesia mungkin kehilangan kedudukan,” tambah Kukuh.
Insentif PPnBM (Pajak Penjualan atas Barang Mewah) pernah diterapkan di Indonesia semasa pandemik, dan kesannya cukup positif.
Namun, dasar ini dihentikan setelah keadaan kembali normal.
Kukuh menegaskan, insentif ini perlu dihidupkan semula untuk menghidupkan kembali pasaran automotif yang lesu.
“Malaysia telah membuktikan, walaupun dalam situasi ekonomi yang mencabar, insentif cukai boleh menjadi jalan keluar. Ini pelajaran penting untuk kita,” tegasnya.