Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memantau industri sukan elektronik (e-sukan) yang dilihat membuka peluang kepada aktiviti dan transaksi rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun SPRM belum membuka sebarang siasatan kes, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung aktiviti salah laku rasuah dalam industri itu.
Baca Juga:
- Atlet E-Sukan Bergelar Hafizah Berjaya Raih Pingat Gangsa Di Sukan Sea 2023
- CEO Razer Sedia Melabur RM10 Juta Dalam Industri E-Sukan Malaysia
- REV Media Group Jalin Kerjasama Perkukuh E-Sukan Bersama UiTM
Lebih membimbangkan, katanya, industri itu juga berdepan cabaran kerana ia tidak membabitkan transaksi perbankan biasa sebaliknya dalam bentuk digital seperti bitcoin.
“Kami akan terus berwaspada dengan sebarang aktiviti berunsur rasuah dalam sukan elektronik atau e-sports di negara ini.
“Berdasarkan laporan media antarabangsa, terdapat kenyataan menyatakan tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali sukan elektronik sekali gus terdedah dengan dua risiko rasuah.
“Dua kategori risiko rasuah iaitu kejohanan e-sukan yang kompetitif dan tidak terkawal serta penipuan data digital sukan seperti manipulasi keputusan perlawanan melalui pelbagai platform e-sukan,” katanya di dalam satu persidangan baru-baru ini.
Tambah Azam, landskap industri sukan menjadi lebih mencabar apabila sukan elektronik atau e-sukan menjadi perhatian kerana potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu dijana sektor itu.