Di Indonesia, sedang digemparkan dengan kes mahasiswa mereka di luar negara umum tidak mahu lagi keturunannya jadi rakyat Indonesia sepertinya.
Namun ternyata mahasiswa itu dan suaminya masih di bawah tanggungan kerajaan Indonesia menerusi skim biasiswa pendidikan negara tersebut.
Seorang alumni beasiswa LPDP, yang juga pempengaruh media sosial, Dwi Sasetyaningtyas tular, selepas videonya yang menyebut: “Cukup aku aja [saya sahaja] yang WNI [warganegara Indonesia], anak-anakku jangan.”
Bermula Dari Video ‘Unboxing’ Pasport British
Sebagai influencer Dwi Sasetyaningtyas melakukan rutin hariannya untuk melakukan unboxing apa sahaja untuk tatapan pengikutnya termasuk pasport Britain yang baru diterimanya.
Dia memuat naik video di Instagram dan Threads yang memaparkan surat daripada Home Office UK, memaklumkan anak keduanya kini rasmi menjadi warganegara Britain. Dalam video itu, dan dia menyebut hasrat agar anak-anaknya memiliki “pasport kuat WNA”.
Kenyataan tersebut segera mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen khususnya kerana Dwi Sasetyaningtyas merupakan alumni LPDP — biasiswa yang dibiayai oleh dana negara.
Sudah Minta Maaf, Tapi Isu Terus Berlanjutan
Susulan kritikan hebat, Dwi Sasetyaningtyas tampil memohon maaf dan mengakui kata-katanya kurang tepat serta boleh disalah tafsir sebagai merendahkan identiti WNI.
Namun, walaupun permohonan maaf sudah dibuat, polemik tidak berhenti di situ. Ianya melarat sampai dibincanhkan menteri.
Suami Turut Terseret, Dana Diminta Dipulangkan
Isu menjadi lebih besar apabila suaminya — yang juga merupakan alumni LPDP — didakwa masih belum menamatkan tempoh khidmat wajib di Indonesia selepas tamat pengajian PhD di Belanda pada 2022.
Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, menyatakan bahawa pihaknya akan mengira jumlah dana biasiswa yang perlu dipulangkan oleh suaminya termasuk faedahnya, dan suaminya dilaporkan bersetuju untuk mengembalikan wang rakyat Indonesia.

Menurut laporan lain, suaminya berdepan dengan tuntutan keseluruhan RM2.27 juta daripada kerajaan Indonesia yang mahu wang biasiswa dikembalikan.
Angka bayaran balik melibatkan suaminya sangat tinggi kerana dia dibiayai kerajaan sehingga ke peringkat PHD.
Berdepan Tindakan Blacklist Daripada Kerajaan Indonesia
Lebih tegas, Purbaya turut menyebut kemungkinan tindakan “blacklist” terhadap kedua-duanya kini berdepan tindakan disenarai hitam daripada sebarang jawatan yang melibatkan kerajaan Indonesia.
Kenyataan ini sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang tanggungjawab moral penerima biasiswa negara, serta sensitiviti isu kewarganegaraan dalam konteks dana awam.
Isu Lebih Besar Daripada Sekadar Video
Kontroversi ini membuka semula perbincangan tentang konsep “hutang budi” kepada negara bagi penerima biasiswa kerajaan, dan bagaimana kenyataan di media sosial boleh memberi implikasi besar terhadap reputasi dan kerjaya.
Dalam era digital, satu ayat boleh mengubah segalanya. Bagi Dwi Sasetyaningtyas dan keluarganya, kenyataan yang mungkin dianggap peribadi kini membawa kesan profesional dan reputasi yang bukan kecil.
Netizen segera menasihati Dwi Sasetyaningtyas bahawa: “Sebenarnya ada sahaja ramai mahasiswa menukar kerakyatan mereka di luar negara selepas graduasi, namun mereka senyap senyap sahaja dan tidak melakukan unboxing pasport.”