Skuad sepak takraw Malaysia kendalian Ahmad Jais Baharun hanya selangkah untuk ke pentas akhir acara regu berpasukan Piala Raja Thai 2024.

Hal ini kerana skuad negara akan berhadapan dengan Korea Selatan pada separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang nanti.

Baca Juga:

Turun selaku naib juara kejohanan dan mempunyai reputasi hebat meskipun tanpa kehadiran Syahir Rosdi yang mengalami kecederaan, Malaysia masih dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir.

Meskipun beraksi jauh di Korat, para pencinta sukan tradisi itu masih boleh mengikuti perkembangan skuad negara dengan rapat menerusi laman TikTok BolarotanTV yang akan diulas oleh pakar sepak takraw, Mohsen Amdan.

Selain itu, laman Facebook Persatuan Sepak Takraw Malaysia – PSM dan Persatuan Sepak Takraw Thailand dijangka akan turut menyiarkan perlawanan tersebut menerusi Live Streaming di The Takraw Association of Thailand (Takraw Association of Thailand) serta Youtube ISTAF SepakTakraw Live.

Pada aksi bertemu Laos malam tadi, Malaysia menyandarkan harapan buat Muhammad Syahmi Hussin (tekong) untuk digandingkan bersama Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) selaku regu pertama.

Manakala, Haziq Hairul Nizam (tekong) pula kelihatan bergandingan dengan duo berpengalaman iaitu Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri).

Sementara itu dalam perkembangan lain di Piala Raja Thai 2024, Malaysia berjaya muncul juara acara regu. Namun, kemenangan itu dikritik hebat kerana Thailand tidak menghantar pasukan dalam acara tersebut.