Amalan bangun sahur merupakan sunat muakkad yang amat dituntut kerana mengandungi keberkatan dan paling utama sekali memberi kekuatan serta tenaga untuk mengharungi ibadah puasa di siang hari dengan lancar.

Bagaimanapun, tular sebuah klip video berdurasi seminit 37 saat yang memperlihatkan sekumpulan individu kejut sahur beramai-ramai sambil diiringi paluan kompang serta didendangkan zikir menerusi pembesar suara.

Dipercayai tradisi kejut sahur semacam pesta besar ini sudah diamalkan sejak turun-temurun sebahagian penduduk di negara jiran, Indonesia.

Paluan kompang, drum dimeriahkan dengan alunan musik yang kuat tersebut sudah pasti mengganggu keluarga atau individu yang mahu mendapatkan rehat yang secukupnya.

Di Indonesia, tradisi mengejutkan orang bersahur (sering disebut Palingkan atau Obrog-obrog) biasanya bermula seawal jam 2:00 pagi hingga 3:00 pagi.

Jadi, boleh dijangkakan jika kalau perarakan geng kejut sahur ini dilakukan pada awal pagi sewaktu kejadian.

Kejadian yang berlaku di Kampung Balakong itu mendapat kecaman hebat dari kalangan netizen dan rata-ratanya tidak mahu melihat tradisi dari negara jiran untuk terus menular dan diserapkan di dalam masyarakat negara ini.

“Ini bukan budaya orang Malaysia. Kita tak buat benda macam ni sebab ada adab dengan rakyat sekeliling,” tegas seorang netizen.

“Budaya konoha jangan la bawak ke sini..kita berbilang bangsa dan agama,saling menghormati..,” ujar seorang lelaki tempatan.

“Aduh. Jangan normalisasikan bunyi kuat waktu orang nak tidur tak kira lah agama & bangsa apa. Cina ke, Melayu ke, India ke. Hormatilah orang lain,” komen seorang individu lain.

Dalam pada itu, sebahagian netizen berharap agar tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa dalam memastikan ketenteraman awam terjamin.