Seorang wanita Singapura berusia 42 tahun, Wong Xiping (transliterasi), dijatuhkan hukuman penjara tiga minggu oleh Mahkamah Singapura selepas mengaku bersalah cuba rasuah seorang pegawai polis di Woodlands Checkpoint.
Kejadian yang berlaku pada 17 Julai lalu ini menjadi tular kerana melibatkan cubaan rasuah yang bukan hanya sekali, tetapi dua kali.
Menurut laporan AsiaOne, Wong yang kerap berulang-alik ke Johor Bahru memandu keretanya ke lorong bas dan lori di Woodlands Checkpoint.
Setelah diarahkan untuk membuat pusingan U ke lorong yang betul, dia cuba “selesaikan” isu tersebut dengan menawarkan RM50 kepada pegawai yang bertugas.
Namun, selepas pegawai itu menolak wang tersebut dan meminta pasportnya, Wong menambah jumlah sogokan dengan S$50 (kira-kira RM166.73).
Dia memberi alasan bahawa perlu segera ke hospital.
Tapi sekali lagi, pegawai itu menolak dengan tegas, memberi amaran tentang kesalahan tersebut, dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Keseluruhan insiden ini dirakam melalui kamera badan pegawai tersebut.
Wong akhirnya ditahan pada pagi yang sama, sekitar pukul 11.30 pagi.
Semasa perbicaraan, Wong memberi alasan bahawa dia tersalah anggap pegawai tambahan Melayu tersebut sebagai pegawai Malaysia yang mungkin mahu meminta duit tambahan.
Katanya, kemampuan bahasa Inggerisnya yang lemah menyebabkan dia salah faham.
Wong juga merayu agar hukumannya diringankan kerana tekanan emosi yang dialaminya ketika itu akibat masalah rumah tangga bersama suami.
Tambahan pula, dia bertanggungjawab menjaga empat orang anak, termasuk seorang bayi yang baru berusia kurang daripada setahun.
Pihak pendakwa raya menekankan bahawa Wong telah melakukan dua cubaan rasuah dalam kejadian ini, justeru memohon hukuman penjara tiga hingga empat minggu.
Walaupun begitu, mahkamah menerima rayuannya untuk memulakan hukuman pada 18 November, bagi memberinya masa mengatur penjagaan anak-anaknya.