Akhirnya pengguna lebuh raya dapat menarik nafas lega apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan sistem pembayaran tol secara terbuka melibatkan 12 lebuh raya dijangka akan bermula September ini.
Menurut beliau, sistem itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam peralihan ke arah perlaksanaan sistem kutipan tol secara ‘Multi-Lane Fast Flow’ (MLFF) yang yang akan dilaksanakan secara berperingkat menjelang akhir 2024.
“Perbincangan dengan pemilik konsesi lebuh raya telah bermula. Kebanyakannya juga bersetuju untuk mengimplementasikan sistem ini di plaza tol.
“Melalui sistem ini, pengguna tidak lagi bergantung pada Touch ‘n Go kerana kaedah pembayaran akan dipelbagaikan. Oleh sebab itu, orang ramai boleh menggunakan kad kredit atau debit untuk pembayaran.
“Kami berharap, dengan adanya sistem pembayaran tol secara pembayaran terbuka ini, laluan trafik lebih lancar terutamanya pada kawasan kutipan tol,” katanya ketika ditemui di di Majlis Perasmian Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya SUKE.
Berikut adalah senarai plaza-plaza tol yang bakal mula menerima kaedah pembayaran terbuka –
1. Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
2. Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE)
3. Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya)
4. Lebuh Raya Baru Pantai (NPE)
5. Jambatan Pulau Pinang (JPP)
6. Lebuh Raya Butterworth – Kulim (BKE)
7. Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP)
8. Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
9. Lebuh Raya Shah Alam (KESAS)
10. Terowong SMART
11. Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX)
12. Lebuh Raya Duta – Ulu Klang (DUKE)