Para pengguna Galaxy semestinya mengetahui betapa komitednya pihak Samsung dalam menyediakan sokongan kemas kini perisian setiap tahun. Bila ada kemas kini, barulah pengalaman menggunakan peranti Samsung jadi lebih menarik kan?

Jadi untuk kemas kini terkini One UI 6, Samsung dilihat membawakan sejumlah pembaharuan baharu untuk menjadikan perantinya lebih mesra pengguna, disamping penambah baikan dari segi aplikasi dan ciri sedia ada dan paling utama sekali fleksibiliti dalam mengubah suai widget seharian. Best!

kemas kini One ui 6
Samsung

Model peranti yang menerima sokongan Samsung One UI 6

Kemas kini terbaharu ini bakal tersedia buat siri Galaxy S23 di Malaysia terlebih dahulu kemudian diikuti dengan model Galaxy Z Fold 5 dan Galaxy Flip 5 dan akan ditawarkan secara meluas kepada model-model lain secara berperingkat.

Jadi jom kita check out ciri menarik yang ditawarkan menerusi kemas kini terbaharu One UI 6 ini.

1. Mengubah suai fungsi widget mengikut citarasa tersendiri

Widget kamera baharu

Samsung

Anda boleh mengubah suai widget kamera baharu yang mana boleh berfungsi melancarkan kamera dengan pelbagai mod menarik. Sebagai contoh, anda menetapkan widget kamera dengan mod Potret atau video sinematografi secara spesifik yang boleh diakses menerusi paparan utama dengan mudah.

Anda juga boleh mencipta beberapa widget kamera tersendiri lalu diletakkan pada paparan utama. Gambar yang ditangkap pula akan disimpan ke dalam fail atau lokasi yang dimahukan oleh anda.

Widget ramalan cuaca

Samsung

Pada kali ini, ia bakal menyediakan lebih banyak maklumat berhubung keadaan cuaca setempat anda. Dengan ini, para pengguna boleh menjangka dengan jelas keadaan cuaca yang bakal berlaku di dalam seharian kerana memiliki bantuan informasi lengkap secara langsung di widget berkenaan.

2. Suntingan visual dengan bantuan AI

Samsung membawakan kecerdasan buatan (AI) yang mana  berupaya menyunting dengan segera termasuklah pembaikian jika ada kecacatan untuk menghasilkan momen yang sempurna. Ini termasuklah akses pantas kepada alatan suntingan berasaskan AI yang merangkumi gambar dan video.

Di dalam Galeri, segala cadangan alatan suntingan bakal ditawarkan dengan bantuan AI untuk gambar dan video menerusi satu tempat sahaja. Sebagai contoh, alat Photo Remaster untuk meningkatkan kualiti gambar, Object Eraser untuk membuang objek asing atau Potrait Effect untuk tambah bokeh latar belakang.

3. Ciri suntingan video seperti profesional!

Pada versi kali ini, ciri suntingan video tampil berwajah baharu dengan pengenalan Samsung Studio yang menawarkan penciptaan kandungan bertaraf profesional buat pemula.

Ia hadir dengan antara muka suntingan skrin multi-lapisan seperti Capcut yang memudahkan anda membuat pelarasan termasuklah menambah teks, pelekat atau audio menerusinya.

Malah, anda boleh menjadikan ia sebagai satu projek di mana boleh menyimpan video yang tidak habis disunting dan kemudian menyambung semula suntingan pada masa lain.

4. Privasi dan sekuriti dipertingkatkan

Samsung

Dalam menjaga privasi dan sekuriti pengguna bagi pelbagai lapisan umur, ciri Auto Blocker hadir untuk menghalang sebarang aplikasi dari sumber yang tidak diketahui dan menyemak aplikasi mencurigakan pada peranti.

Bukan itu sahaja, Samsung juga menghalang sebarang cubaan godaman dalam bentuk fizikal menerusi USB serta menyekat kandungan fail merbahaya di dalam mesej.

5. Urusan seharian lebih mudah dengan Samsung Wallet

Samsung Wallet merupakan dompet digital yang membenarkan pengguna untuk menyimpan pelbagai kad fizikal penting di dalam satu tempat sahaja. Ini termasuklah kad kredit, kad pengenalan, tiket acara, pas penerbangan dan kunci kereta.

Menariknya, anda boleh memautkan aplikasi Calendar dan Wallet untuk menerima notifikasi bagi tarikh luput dan jadual tiket penerbangan. Malah, anda boleh berkongsi pas penerbangan, kod bar tiket dan kod QR kepada pengguna lain dengan mudah.

Secara keseluruhannya, Samsung memberikan nafas baharu terhadap rekaan antara muka perisian serta fleksibiliti dalam mengubah suai fungsi atau widget untuk meningkatkan produktiviti pengguna.

Anda boleh lihat sendiri perubahan pada panel utama yang mana tampil lebih minimalis dan kemas. Menariknya, ia boleh diubah suai dengan menambah sebarang fungsi yang dimahukan mengikut citarasa tersendiri.

Untuk lebih interaktif, anda juga boleh membuat sticker daripada album gambar peribadi semudah drag&drop menggunakan dua jari sahaja. Tidak terhad kepada nota sahaja, anda juga menghiasi video dan gambar dengan sticker tersebut.

Jadi, tunggu apa lagi? Kemas kini peranti Galaxy masing-masing untuk menerokai pelbagai ciri menarik yang pasti dapat meningkatkan produktiviti dan menerokai kreativiti anda dalam tugasan seharian. Jom!