Kompleks mahkamah Kuala Terengganu, telah dikosongkan awal hari ini akibat ancaman bom, lapor Sinar Harian.
Polis menerima panggilan pada jam 7.20 pagi mengenai bungkusan misteri yang ditinggalkan di hadapan pintu pagar kompleks mahkamah.
Baca Juga:
- 19 Sekolah Di Seluruh Negara Dikejutkan Dengan Ancaman Bom
- PDRM Sahkan 9 Sekolah Antarabangsa Di Lembah Klang Terima Ancaman Bom
Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Pemusnah Bom (BDU) di Kuala Terengganu dipanggil ke lokasi kejadian.
Setelah diperiksa, tiada ancaman lain ditemui di kompleks mahkamah. Kandungan bungkusan itu tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.
Manakala sumber tanpa nama memberitahu Sinar Harian, BDU menemui sehelai kertas dengan perkataan “amaran pertama” yang dibungkus bersama bungkusan misteri itu.
Pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa terdapat lampu suluh di dalam bungkusan tersebut yang telah selamat dilupuskan oleh BDU.
Beberapa kawasan kompleks mahkamah pula dihadkan kepada orang ramai sehingga 12:45 tengah hari.
Untuk rekod, ancaman bom terakhir adalah pada November tahun lalu apabila banyak sekolah di seluruh negara menerima informasi dari individu tanpa nama yang memberi amaran mengenai bahan letupan di premis mereka.
Ancaman bom terakhir dilaporkan di mahkamah adalah pada 25 Julai 2019, di kompleks mahkamah Kuala Lumpur semasa perbicaraan berprofil tinggi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan penyelewengan wang bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, sebuah bekas anak syarikat 1MDB milik negara.