Penghujung Jun 2025 bakal menyaksikan berakhirnya kontrak beberapa pemain bola sepak terkenal dunia seperti trio Liverpool iaitu Mohamad Salah, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk.

Keadaan yang menjadikan ‘golongan’ ini sebagai sasaran utama untuk perpindahan atau memeterai kontrak lanjutan bersama kelab masing-masing.

Baca Juga:

Dalam keadaan ini, seperti termaktub dalam ‘Bosman Ruling’, pemain boleh menggunakan kuasa mereka untuk berurusan dengan mana-mana kelab pada 6 bulan terakhir kontrak mereka.

Sehubungan dengan itu, Trent Alexander-Arnold dikatakan sudah menghubungi Real Madrid untuk menyatakan keinginannya menyertai kelab tersebut seperti dilaporkan sebelum ini.

Manakala, Salah dan van Dijk pula dikatakan akan menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool dengan tambahan dua tahun lagi untuk kekal di Anfield.

Selain nama-nama yang disebutkan di atas, terdapat beberapa pemain lagi dimana kontrak mereka hanya berbaki enam bulan sahaja lagi.

1) Jonathan Tah – Bayer Leverkusen

Pertahanan kental yang merupakan pemain skuad kebangsaan Jerman mengesahkan tidak akan menandatangani kontrak lanjutan.

Barcelona berkemungkinan besar akan menjadi destinasi terbaharu buat pemain berusia 29 tahun itu.

2) Kevin De Bruyne – Manchester City

Beberapa hari lalu pemain tengah berpengaruh itu mengakui masih belum ada perbincangan bersama Manchester City untuk mengekalkannya di Etihad Stadium.

Seperti jendela perpindahan musim panas lalu, nama beliau sering dikaitkan dengan kelab saingan Liga Arab Saudi.

3) Son Heung-Min – Tottenham Hotspur

Kapten Tottenham Hotspur itu juga dikatakan masih belum berunding dengan pengurusan tertinggi untuk terus bersama pasukan tersebut buat musim ke-11.

4) Leroy Sane – Bayern Munich

Masa depan Sane bersama Bayern Munich masih menjadi tanda tanya dimana beliau membuat 11 penampilan dalam saingan liga setakat ini.

Sama seperti Tah, Barcelona dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap ini.

5) Joshua Kimmich – Bayern Munich

Kimmich yang mendapat kepercayaan pengurus, Vincent Kompany apabila beraksi penuh masa pada kesemua perlawanan liga masih belum memuktamadkan masa depannya.

6) Alphonso Davies – Bayern Munich

Pemain berusia 24 tahun itu turut menjadi buruan Real Madrid dalam usaha Los Blancos memantapkan kembali jentera pertahanan mereka.

7) Jonathan David – LOSC Lille

Penyerang yang dianggarkan bernilai $46.8 juta itu kini berada dalam prestasi cemerlang musim ini dengan 17 gol dan 5 bantuan jaringan daripada 24 perlawanan.

Pada usia 24 tahun, kontraknya akan tamat pada Jun 2025, menjadikannya sasaran utama untuk kelab-kelab terkemuka. Barcelona dan Fenerbahce antara pihak yang berminat.