Susulan pemecatan Dorival Junior tempoh hari ekoran kekalahan besar kepada Argentina, Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memberikan tumpuan untuk mencari pengganti jurulatih berusia 62 tahun itu.

Seperti dilaporkan sebelum ini nama Carlo Ancelotti menjadi pilihan utama CBF tetapi pengendali Real Madrid itu sudah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak berminat untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Baca Juga:

Beliau juga kini dalam misi untuk terus menghadiahkan trofi buat Los Blancis dimana Real Madrid masih dalam persaingan untuk memburu kejuaraan La Liga dan mara ke suku akhir UEFA Champions League (UCL).

Selain itu satu lagi nama yang cukup mustahil untuk direalisasikan oleh CBF ialah pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Guardiola sebelum ini tanpa berselindung mengakui berhasrat untuk membimbing skuad kebangsaan sebelum bersara.

Namun, kontraknya bersama Manchester City masih berbaki sehingga 2027 dan ia nyata amat sukar untuk membawanya ke Brazil.

Anak Jati Brazil Turut Tersenarai

Selain dua figura hebat dalam bola sepak dunia itu, CBF turut mempunyai calon lain yang salah seorangnya merupakan anak jati Brazil.

Individu dimaksudkan menurut sumber laporan Goal ialah Abel Ferreira (pengurus Palmeiras) dan bekas pemain skuad kebangsaan Brazil yang kini bertindak selaku pengurus Flamengo, Felipe Luis.

Pengurus Al Hilal, Jorge Jesus juga turut dikatakan berada dalam radar juara dunia lima kali itu.

Selepas mengharungi 14 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026, Brazil menghuni tangga keempat dengan 21 mata hasil enam kemenangan, tiga keputusan seri dan lima kekalahan.

Skuad Samba itu terikat mata bersama Uruguay yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Mereka akan beraksi pada perlawanan ke-15 menentang Ecuador pada 4 Jun nanti dimana lawan tersebut cemerlang berada di kedudukan kedua dengan 23 mata.

Sumber