Juara Piala Dunia lima kali, Brazil kini menjadi pasukan belasahan dimana mereka tewas dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon CONMEBOL menentang Paraguay baru-baru ini.
Skuad Samba mengalami kekalahan kali keempat dalam lima perlawanan kelayakan yang dihadapi setakat ini dimana gol yang dijaringkan oleh Diego Gomez pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada pasukan tuan rumah.
Baca Juga:
- ‘Ini Skuad Brazil Paling Teruk Sepanjang Zaman’
- Ronaldo Bosan Dengan Aksi Brazil, Akui ‘Lebih Suka Menonton Tenis Berbanding Bola Sepak’
- Gelombang Kehadiran ‘Ubi’ Brazil Ke Chelsea Cetusan Idea Bekas Pemain Import Perak
Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Dorival Junior itu menduduki tangga kelima dalam carta kumpulan, hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan Venezuela di tempat keenam.
“Jurulatih masih memikirkan cara terbaik untuk kami bermain dan itu mencerminkan keputusan perlawanan dalam saingan kelayakan,” kata pertahanan Marquinhos kepada TV Globo Brazil.
“Terdapat ramai pemain baharu, kami kurang keyakinan. Kelayakan bukan mudah, ia adalah masa yang sukar dan kami perlu tahu bagaimana untuk menguruskannya. Ia adalah masa peralihan, kami tidak berasa yakin. Kami akan bekerja keras, mendapatkan keputusan di atas padang adalah yang terbaik jawab.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, Brazil menampilkan prestasi yang mengecewakan terutamanya dalam temasya Piala Dunia 2022 dan Copa America baru-baru ini.
Sebelum ini, salah seorang legenda pasukan iaitu Ronaldinho menganggap barisan pemain dalam skuad kali ini adalah yang terburuk dan beliau tidak akan memberikan sokongan kepada pasukan itu dalam saingan Copa America.
“Ini adalah detik yang sukar untuk bola sepak Brazil. Sukar untuk mencari sebab mengapa saya perlu melihat mereka beraksi. Ini mungkin antara skuad paling teruk dalam beberapa tahun. Tiada pemimpin dan ramai pemain yang biasa sahaja.
“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini. Tiada keinginan, tiada semangat untuk bermain bagi lencana di dada dan prestasi yang ditunjukkan baru-baru ini adalah yang terburuk pernah saya lihat,” katanya.
Dengan format temasya Piala Dunia 2026 yang bakal disertai 48 pasukan, enam pasukan teratas dalam kelayakan zon CONMEBOL, yang mempunyai satu kumpulan, akan menempah tempat di peringkat akhir.
Pasukan yang menduduki tempat ketujuh dalam kelayakan akan memasuki playoff antara konfederasi, manakala tiga pasukan terbawah akan tersingkir.