Media Brazil nyata kecewa dengan prestasi yang ditampilkan oleh skuad kebangsaan negara itu dalam saingan Copa America 2024 dimana mereka hanya mampu melangkah ke peringkat suku akhir.
Skuad Samba merupakan antara pasukan calon juara sebelum saingan bermula selain Argentina dan Uruguay namun gagal untuk beraksi layaknya sebagai pasukan pilihan.
Baca Juga:
- Ronaldo Bosan Dengan Aksi Brazil, Akui ‘Lebih Suka Menonton Tenis Berbanding Bola Sepak’
- Gelombang Kehadiran ‘Ubi’ Brazil Ke Chelsea Cetusan Idea Bekas Pemain Import Perak
- Copa America 2024: Messi Gagal Sempurnakan Penalti, Argentina Tetap Ke Separuh Akhir
Skuad kendalian Dorival Júnior itu berdepan Uruguay dalam aksi suku akhir dan perlawanan tersebut terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti dimana Uruguay muncul sebagai pemenang dan mara ke separuh akhir.
Selepas tewas, media negara itu melabel skuad kali ini sebagai yang paling teruk dan pemain seolah-olah tiada harga diri dan hanya memalukan negara mereka.
Sebelum ini, salah seorang legenda pasukan iaitu Ronaldinho menganggap barisan pemain dalam skuad kali ini adalah yang terburuk dan beliau tidak akan memberikan sokongan kepada pasukan itu dalam saingan Copa America.
“Ini adalah detik yang sukar untuk bola sepak Brazil. Sukar untuk mencari sebab mengapa saya perlu melihat mereka beraksi. Ini mungkin antara skuad paling teruk dalam beberapa tahun. Tiada pemimpin dan ramai pemain yang biasa sahaja.
“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini. Tiada keinginan, tiada semangat untuk bermain bagi lencana di dada dan prestasi yang ditunjukkan baru-baru ini adalah yang terburuk pernah saya lihat,” katanya.
Dorival mengaku beliau bertanggungjawab bagi kegagalan dalam edisi kali ini namun beliau berpendapat masih ada ruang untuk diperbaiki dan skuad kebangsaan itu boleh kembali menyinar.
Beberapa pemain seperti Vinicius Jr dan Rodyrgo Goes masih muda selain ada beberapa bakat lain seperti Endrick dan Estevao Williams yang mempunyai potensi untuk menjadi bintang seterusnya bagi Brazil.