Gaya hidup orang Jepun sememangnya terkenal dengan budaya yang unik serta tinggi dengan nilai santun dan budi bahasanya. Maka tidak hairan, cara pekerja di Jepun melakukan protes juga unik serta berhemah dan tidak memerlukan kekecohan sebagai simbol menyuarakan protes.

Pemandu bas Ryobi Group di bandar Okayama, Jepun pada tahun 2018 pernah mengadakan protes terhadap syarikat berkenaan. Memetik laporan Japan Today, difahamkan bahawa pemandu bas Ryobi melakukan protes tersebut disebabkan munculnya persaingan syarikat bas baharu iaitu syarikat bas Megurin dengan penawaran kadar tambang yang jauh lebih murah berbanding bas Ryobi.

Db2yKEiVwAAQxU7
Bas Megurin dikatakan lebih moden dan comel di mata penduduk tempatan. | Sumber: Japan Today

Kesannya, secara tidak langsung persaingan ini akan membuatkan para penumpang setia bas Ryobi ‘bertukar angin’ dan lebih memilih untuk menjadikan bas Megurin sebagai kenderaan awam harian mereka.

Tambah persaingan, sesetengah laluan serta hentian bagi kedua-dua syarikat bas ini ada juga yang sama dan ini menyebabkan para pemandu bas Ryobi bersuara lalu meminta pihak pengurusan untuk mencari jalan terbaik bagi membendung masalah yang timbul disebabkan persaingan ini.

Bagaimanakah mereka mengadakan protes?

Bersuara secara baik sahaja tidak cukup. Nampak gayanya pihak pengurusan bas Ryobi langsung tidak ambil kisah dengan aduan yang diajukan oleh para pemandu. Dalam kes ini, para pemandu bas Ryobi tidak melakukan protes kekecohan kerana mereka khuatir jika mereka bertindak sedemikian, pastinya akan memberi imej buruk kepada bas Ryobi dan mengganggu kehidupan harian penduduk yang menggunakan servis bas mereka.

Uniknya, demi mengadakan juga protes walaupun tanpa berlakunya kekecohan yang berisiko, para pemandu bas Ryobi ini secara berhemah mengadakan protes menerusi pelaksanaan kempen ‘tambang percuma’ buat semua penumpang bas Ryobi.

DbssPRWV4AAcKbn
Sumber: Japan Today

Operasi laluan bas akan dijalankan seperti biasa namun para penumpang yang menaiki bas ini tidak perlu membayar tambang bas kerana itu merupakan tanda protes mereka terhadap majikan. Malah, mesin pengimbas tambang e-wallet juga ditutup dengan dengan kain bagi menghalang penumpang membayar tambang bas.

Protes ini mungkin nampak remeh tetapi apabila tambang tidak dikutip, setiap bas yang bergerak di jalanan akan menyumbang kepada lebih banyak kerugian buat syarikat.

Khabarnya, cara tersebut sangat berkesan dan majikan mula mendengar keluhan serta melunaskan permintaan daripada pemandu bas. Malah, cara ini juga telah diuji berkesan oleh pemandu bas yang mogok di negara-negara Eropah dan Australia.

Begitulah tindakan protes bijak yang dilakukan oleh pemandu bas Ryobi. Bagi mereka biarkan sahaja protes dengan cara begitu asalkan ia tidak merosakkan imej syarikat dan hubungan antara pelanggan juga terjamin berkekalan.

Baru-baru ini, viral mengenai kes pekerja J&T yang mogok di gudang kerana dilaporkan atas sebab tidak puas hati komisyen mereka dikurangkan oleh pihak pengurusan.

Marahkan Pengurusan, Pekerja J&T Mogok Dengan Membaling Barang Pelanggan

‘Hanya Salah Faham Bukan Mogok’- J&T Minta Maaf Pekerja Campak Parcel Secara Ganas

Sumber