Pada Rabu, 16 Oktober, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan berita tergempar: pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, telah dibunuh dalam oleh pasukan risikan Israel di Gaza selatan, lapor BBC.

Pengumuman ini menjadi titik penting dalam konflik panjang antara Israel dan Hamas, terutamanya selepas serangan-serangan berterusan di Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Namun, bagaimana pasukan risikan Israel berjaya menjejak dan akhirnya membunuh pemimpin Hamas yang dianggap ‘licik’ ini?

Menurut Netanyahu, Sinwar telah lama bersembunyi, tetapi dengan kerjasama rapat antara pasukan tentera Israel dan Badan Keselamatan Israel, Shin Bet, operasi menjejakinya dijalankan sejak setahun yang lalu.

Sejak itu, Israel telah memperhebatkan operasi di Gaza, terutama di kawasan Rafah, di mana Sinwar diyakini bersembunyi.

Beberapa minggu terakhir menyaksikan operasi yang lebih intensif di Gaza selatan, dengan Brigade 828 (Bislach) melakukan risikan yang agresif di wilayah tersebut.

Walaupun operasi ini difokuskan pada penghapusan kumpulan militan, mereka secara tidak sengaja mengesan anggota penting Hamas, termasuk Sinwar.

Pasukan Israel menganggap kumpulan itu sebagai “teroris” dan terus menyerang mereka.

Sinwar, yang cuba melarikan diri dari pertempuran, ditembak sebelum bersembunyi di salah sebuah bangunan berhampiran.

Dalam kenyataan rasmi, Juru Bicara IDF, Daniel Hagari, menerangkan bagaimana pasukan Israel menggunakan teknologi pengintipan canggih, termasuk drone, untuk menjejak Sinwar.

Dalam satu video yang dipaparkan kepada media, Sinwar dilihat cedera di tangannya akibat tembakan dan cuba melindungi dirinya dengan memakai penutup wajah.

Malah, dalam usaha terdesak, dia melemparkan dahan pokok ke arah drone yang berlegar-legar di udara.

Drone tersebut membantu pasukan Israel mengesan kedudukan Sinwar, yang kemudian berakhir dengan serangan ke atas bangunan tersebut.

Menurut Hagari, setelah gedung itu diserbu, pasukan tentera menemui Sinwar sedang bersembunyi dengan sebuah pistol dan sejumlah 40 ribu shekel di sisinya.

Kematian Sinwar dilaporkan berlaku tidak jauh dari lokasi di mana Israel sebelum ini menemui mayat enam tebusan pada bulan September.

Tebusan-tebusan ini didakwa dibunuh dan dikebumikan di terowong bawah tanah yang dikendalikan oleh Hamas.

Dengan kematian Yahya Sinwar, Israel menganggap ini sebagai kejayaan besar dalam memerangi Hamas, walaupun konflik di Gaza tampak belum reda.

Kehilangan pemimpin utama Hamas ini bakal mencetuskan lebih banyak ketegangan dan pertanyaan tentang masa depan wilayah tersebut.